FRONTLINERS BANTU PULIH SEMANGAT WARGA EMAS
BERA: Kesungguhan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang , dekat Triang, di sini, dalam menyediakan kemudahan tempat tinggal selesa kepada penghuninya, mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.
Selain sering mendapat sokongan daripada masyarakat setempat, rumah kebajikan itu juga mempunyai hubungan kerjasama baik dengan petugas dari Jabatan Kesihatan Negeri Pahang daerah Bera.
RUTIN PEMERIKSAAN KESIHATAN MINGGUAN DILAKUKAN PETUGAS DARI KLINIK KESIHATAN BERHAMPIRAN RUMAH KEBAJIKAN WARGA EMAS SANG RIANG, DEKAT TRIANG
Pengerusi Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Moey berkata, pegawai perubatan bersama jururawat dari klinik kesihatan berhampiran turut mengadakan rutin kunjungan pemeriksaan di rumah kebajikan berkenaan bagi memastikan penghuni mendapat rawatan bersesuaian.
“Selain itu, kita dengan kerjasama petugas kesihatan turut melakukan aktiviti senaman fizikal setiap seminggu sekali untuk menguatkan otot warga emas yang menetap di rumah kebajikan ini.
“Kita juga mempunyai banyak aktiviti yang direka khusus untuk warga emas untuk menghilangkan rasa bosan mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Cheong Kah Wah sangat berpuas hati dengan kerjasama daripada petugas kesihatan yang sentiasa memberi perhatian kepada keperluan penghuni di situ.
“Kedatangan mereka banyak membantu kami dalam memulihkan semangat untuk terus hidup dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.