FOSIL GAJAH DITEMUI DI PERAK
Berita Nasional
FOSIL GAJAH DITEMUI DI PERAK
KUALA LUMPUR: Fosil gajah purba Stegodon pertama di negara ini, dengan anggaran usia antara 80,000 hingga 30,000 tahun ditemui dalam gua batu kapur di Gopeng, Perak.
Gajah purba berkenaan antara genus Proboscidea daripada keluarga Stegodontidae yang sudah lama pupus itu ditemui sekumpulan saintis dari Universiti Malaya (UM).
Penyelidikan itu diketuai saintis dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Dr Ros Fatihah Muhammad dengan kerjasama ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi dari Persatuan Paleontologi Malaysia, Lim Tze Tshen.
Ros Fatihah berkata, spesies itu berbeza dengan gajah moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di negara ini dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi, selain tiada penemuan fosil Stegodon di Malaysia, sehingga kini.
Katanya, Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies Proboscidea paling tinggi di Malaysia, sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis Proboscidea berlainan pernah hidup di Semenanjung (Stegodon sp, Elephas maximus dan berkemungkinan juga Palaeoloxodon namadicus).
Beliau berkata, penemuan itu amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula sejarah laluan migrasi biota zaman Pleistosen, termasuk manusia.
“Penemuan ini hasil susulan daripada makluman kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch serta tinjauan dan kajian kami. Kajian setakat ini menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba.
“Bagaimanapun amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi fauna kuno dan juga perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Fosil itu dikenal pasti sebagai Stegodon oleh Tze Tshen serta perkongsian pakar dari seluruh dunia, antaranya 5th Earl of Cranbrook; Datuk Seri Gathorne Gathorne-Hardy dari Natural History Museum (London) dan Dr John de Vos dari Naturalis Biodiversity Center (Leiden).
Proses itu turut mendapat perkongsian daripada Dr Gert van den Bergh dari University of Wollongong, Australia serta Dr Gerrell Drawhorn dari California State University (Sacramento), Amerika Syarikat (AS).
Ros Fatihah berkata, gajah purba itu mungkin mati pada usia kurang dua tahun, susulan hasil proses pengimejan dilakukan pakar gigi dari Fakulti Pergigian UM, Prof Madya Dr Norliza Ibrahim dan Dr Mohd Azmi Abdul Razak.
“Saya berharap kerajaan negeri mewartakan kawasan penemuan ini supaya dilindungi daripada pencerobohan dan boleh dicadangkan sebagai geotapak baharu, Geopark Lembah Kinta.
“Terdapat bukti di lokasi penemuan Stegodon dan tapak paleontologi lain, menunjukkan tinggalan haiwan telah pupus pernah wujud di Semenanjung seperti orang utan, badak sumbu Sumatera, badak raya Java, beruang hitam Asia dan satu spesies tikus kuno sudah lama pupus.
“Kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara bukit batu kapur daripada ancaman kuari sebagai contoh, penemuan fosil dari gua kars ini sebab kukuh bagi pemeliharaan berterusan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, menyifatkan penemuan itu sebagai tonggak sejarah dalam kajian paleontologi Kuaterner di Malaysia dengan pasukan berkenaan berjaya membuka lembaran baharu bidang kajian terbabit.
“Setakat ini, hanya dua sarjana doktor falsafah dianugerahkan dalam bidang ini, masing-masing berkenaan fosil dan paleo-ekologi mamalia besar serta fosil dan paleo-ekologi tikus.
“Beberapa penerbitan dihasilkan mengenai penemuan tapak fosil mamalia baharu berpotensi tinggi di Semenanjung dan penentuan umur geologi tapak lama dengan menggunakan kaedah terkini,” katanya.