FILIPINA ISYTIHAR AWAL FEBRUARI HARI HIJAB KEBANGSAAN
FILIPINA ISYTIHAR AWAL FEBRUARI HARI HIJAB KEBANGSAAN
MANILA: Dewan Perwakilan Filipina meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengisytiharkan 1 Februari setiap tahun sebagai Hari Hijab Kebangsaan.
Pendekatan itu bertujuan memupuk kefahaman lebih mendalam mendalam mengenai cara hidup Islam dan tolak ansur dalam kalangan rakyat pelbagai agama.
Kongres sebulat suara bersetuju dengan RUU itu pada 26 Januari lalu, dengan sokongan sebulat suara semua 203 anggota Parlimen, lapor Agensi.
GAMBAR HIASAN
Perwakilan dari parti Anak Mindanao, Amihilda Sangcopan, berterima kasih kepada semua penggubal undang-undang yang meluluskan RUU itu dan meminta anggota Senat untuk mengambil tindakan sama.
“Undang-undang ini bertujuan mempromosikan pemahaman lebih mendalam dalam kalangan orang bukan Islam mengenai amalan dan nilai bertudung sebagai tindakan sopan serta menjaga martabat seorang wanita Islam.
“Ia juga bagi mendorong wanita Islam dan bukan Islam untuk memahami mengenai keperluan memakainya, sekali gus menghentikan diskriminasi, penindasan dan kebebasan memakai hijab,” katanya.
Tambah beliau, wanita bertudung menghadapi banyak diskriminasi di seluruh dunia termasuk di beberapa universiti di Filipina yang melarang pelajar Islam bertudung.
“Kini, sebilangan pelajar ini terpaksa menanggalkan tudungnya untuk mematuhi peraturan dan undang-undang sekolah, sementara ada yang dipaksa berhenti atau dipindahkan ke institusi lain,”katanya.
Menurut Lembaga Statistik Filipina, terdapat lebih 10 juta umat Islam di Filipina dari keseluruhan 110,428,130 jumlah penduduknya, berdasarkan data terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
GAMBAR HIASAN
RUU itu mewajibkan Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina untuk menyambut Hari Hijab Nasional dengan mempromosikan serta meningkatkan kesedaran mengenai hijab di Filipina.
Islam adalah agama kedua terbesar di Filipina, dengan kebanyakan penganutnya tinggal di Pulau Mindanao terutama di Basilan, Lanao del Sur, Maguindanao, Sulu dan Tawi-Tawi.