Felda Wilayah Jengka semarak sambutan Hari Kebangsaan 2022
Felda Wilayah Jengka semarak sambutan Hari Kebangsaan 2022
BANDAR PUSAT JENGKA Felda yang berada di Kawasan Wilayah Jengka akan mengadakan pertandingan menghias dan memasang bendera di tanah rancangan masing-masing sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun 2022.
Sebanyak 37 tanah rancangan di bawah Wilayah Jengka akan menyertai pertandingan itu di bawah kelolaan Pejabat Felda Wilayah Jengka.
Pengarah Wilayah Jengka, Tarmizi Lee berkata, kategori Felda dan rumah paling patriotik turut akan dipertandingkan dan pemenang terbaik akan dipilih.
“Seharusnya kita wajar bersyukur dengan kedamaian dan ketenteraman tempat tinggal kita serta negara ini dengan menunjukkan semangat patriotik melalui sambutan hari kebangsaan selain setelah ‘teperangkap’ hampir 2 tahun diserang wabak Covid-19,” katanya.
“Pertandingan ini bertujuan untuk membangkitkan semangat patriotik di kalangan warga Felda di sini khususnya generasi muda agar terus bersemangat menyayangi negara dan rela mempertahankan negara tercita daripada ancaman musuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, Felda Jengka 24 akan memasang lebih 10,000 bendera di kawasan itu sebagai mempertahankan kejuaraan 3 kali berturut-turut yang pernah disandang sebelum ini.
“Tahun ini penduduk di sini (Felda Jengka 24) akan bersungguh-sungguh mempertahankan kejuaraan dan mula memasang dan menghias bendera secara berperingkat secara gotong-royong mengikut kawasan yang ditetapkan.
“Selain itu, klinik kesihatan, sekolah menengah dan rendah , koperasi Felda masing-masing, pusat internet, masjid dan rumah kakitangan akan menyertai pertandingan ini, makluman telah disampaikan,” katanya.
Katanya, semangat patriotik perlu ditanam di hati generasi muda yang tidak mengetahui sejarah perjuangan orang terdahulu menuntut kemerdekaan.
“Filem Mat Kilau telah memaparkan semangat pahlawan Melayu berjuang menentang penjajah dan menjadi bualan ramai sekarang sehingga makam Mat Kilau di Pulau Tawar dilawati pengunjung setiap hari,” katanya.-SAHIH.