FELDA SASAR 1,000 PENEROKA BERGELAR JUTAWAN
FELDA SASAR 1,000 PENEROKA BERGELAR JUTAWAN
JERANTUT: FELDA sedang merangka perancangan teliti bagi membantu lebih ramai peneroka memperoleh pendapatan tambahan lumayan tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil ladang mereka.
PENGERUSI FELDA, DATUK SERI IDRIS JUSOH
Hasrat Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 1,000 jutawan dari FELDA dalam tempoh lima tahun itu dilihat sebagai satu wawasan yang jelas dan tidak mustahil untuk menjadi kenyataan.
Bagi Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud, lebih banyak projek berimpak tinggi perlu dilaksanakan secara berperingkat di semua tanah rancangan FELDA.
KETUA PENEROKA FELDA JENGKA 24, RAZAK DAUD
“Kita di (FELDA) Jengka 24 memang menyambut baik saranan Pengerusi FELDA dan pihak pengurusan (FELDA) peringkat Wilayah Jengka.
“Antara projek sedang kita rancang di FELDA Jengka 24 ialah ternakan ikan dan ruminan (lembu dan kambing) dan projek tanaman seperti cili yang memang mempunyai permintaan tinggi di pasaran,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, pihak FELDA menyediakan geran antara RM2,000 hingga RM10,000 untuk peneroka yang berminat untuk mengusahakan projek bersesuaian di kawasan mereka.
“Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Afzal Hanis Abdul Kadir memang sentiasa menyokong sebarang usaha dan idea kami untuk menambahkan pendapatan bagi meningkatkan taraf hidup kami, terutamanya generasi kedua FELDA.
“Kita juga sudah dibawa melawat projek diusahakan peneroka FELDA Trolak dan FELDA Bukit Rokan bagi melihat lebih dekat aktiviti yang berpotensi dilaksanakan di kawasan FELDA Wilayah Jengka dan FELDA Jengka 24,” katanya.