FELDA KOTA GELANGGI SATU BANJIR
BANYAK KENDERAAN TERKANDAS, 16 RUMAH DIMASUKI AIR
JERANTUT: Laluan utama ke FELDA Kota Gelanggi Satu dinaiki air sedalam kira-kira satu meter menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan ringan terkandas termasuk yang menghala ke kawasan FELDA Gelanggi Dua, FELDA Kota Gelanggi Empat dan Gugusan FELDA Lepar dan juga ke bandar Jerantut.
Berikutan kejadian itu, berpuluh-puluh kenderaan ringan yang menghala ke kawasan FELDA tersebut terpaksa berpatah balik termasuk dari kawasan tanah rancangan berkenaan untuk ke bandar Jerantut, manakala cuma kenderaan berat boleh melintasi laluan tersebut.
Penduduk FELDA Kota Gelanggi Tiga, Hadi Aznan berkata, kawasan laluan berkenaan agak rendah berdekatan dengan sebatang anak sungai mula dilimpahi air sejak pukul 6 pagi hari ini dan penduduk sedar apabila bunyi enjin kenderaan berhenti di tepi jalan.
“Kejadian ini menyebabkan kenderaan ringan berhenti dan kebanyakannya berpatah balik kerana air semakin naik, hanya kenderaan berat yang masih boleh melintasi laluan yang dinaikki air itu,” katanya di FELDA Kota Gelanggi Tiga, dekat sini hari ini.
Menurut Hadi, kejadian itu juga menyebabkan penduduk tidak dapat pergi ke kebun sawit berdekatan, manakala bagi mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di FELDA Kota Gelanggi Dua, FELDA Kota Gelanggi Empat dan Gugusan FELDA Lepar juga terpaksa berpatah balik.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) FELDA Kota Gelanggi Satu, Abdul Rahman Abdul Ghani berkata, paras air mula naik sejak awal pagi tadi dan sekiranya hujan lebat berterusan kemungkinan jalan tersebut tidak boleh dilalui.
“Setakat ini belum ada mangsa yang dipindahkan ke pusat perpindahan sementara, namun semua penduduk di kawasan rendah diarah berjaga-jaga terutama membawa dokumen penting sekiranya perlu ke pusat pemindahan.
“Kawasan ini selalu kena banjir sebab penempatan mereka berhampiran sungai yang sering melimpah selepas hujan lebat,” katanya hari ini.
Katanya, kejadian banjir seperti itu kerap berlaku setiap tahun ketika hujan lebat sehingga beberapa batang anak sungai berdekatan akan paras air sungai akan naik dan masuk ke rumah kediaman penduduk.