Felda Jengka 24 meriah kibaran Jalur Gemilang
Felda Jengka 24 meriah kibaran Jalur Gemilang
JERANTUT – Felda Jengka 24 kembali meriah dengan kibaran Jalur Gemilang apabila lebih 3,000 bendera dipasang sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Menariknya, walaupun tiada pertandingan dianjurkan, semangat patriotik dalam kalangan peneroka dan generasi baharu kawasan itu tidak pernah luntur.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, berkata penyertaan aktif daripada semua peringkat usia membuktikan kecintaan terhadap tanah air masih utuh dalam jiwa warga Felda.
“Tahun ini kita pasang lebih 3,000 bendera di rumah penduduk serta sepanjang jajaran jalan utama dalam Felda Jengka 24.

“Apa yang membanggakan, walaupun tanpa sebarang pertandingan, semua lapisan masyarakat termasuk dewasa, belia, remaja dan kanak-kanak berganding bahu memasang bendera. Ibarat satu pesta,” katanya.
Menurut Razak, bendera yang dipasang itu dibeli sendiri oleh penduduk, tanpa sebarang sumbangan luar.
“Ini membuktikan semangat merdeka tidak pudar dalam kalangan peneroka setiap kali tiba Ogos.
“Beberapa tahun lalu, jumlah bendera pernah mencecah hingga 10,000 helai dan kini tradisi itu diteruskan,” katanya.
Tambahnya lagi, inisiatif masyarakat Felda Jengka 24 itu bukan sahaja menaikkan semangat kebangsaan, malah memberi mesej perpaduan yang kuat dalam kalangan komuniti luar bandar.-SAHIH
