FELDA JENGKA 24 JOHAN HARI MERDEKA ,HARI MALAYSIA
FELDA JENGKA 24 JOHAN HARI MERDEKA, HARI MALAYSIA PERINGKAT WILAYAH JENGKA
JERANTUT: FELDA Jengka 24, dekat sini, dinobatkan sebagai Johan Kategori Kampung Patriotik dalam Pertandingan Sempena Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia Peringkat Wilayah Jengka yang berlangsung sepanjang bulan Ogos lalu.
Pemilihan itu dibuat selepas mengambilkira komitmen dan kreativiti ditunjukkan kira-kira 300 warga peneroka FELDA berkenaan dalam menceriakan kawasan mereka dengan menggunakan lebih 6,000 bendera Jalur Gemilang.
Pengerusi Biro Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, keputusan pemenang itu dibuat oleh gabungan jawatankuasa khas yang terdiri daripada Ketua Peneroka, Pengerusi Gabungan Peneroka Wanita serta Pengurus Rancangan FELDA.
“Sebanyak 37 tanah rancangan dalam Wilayah FELDA mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan dan objektif utama kita menganjurkan pertandingan adalah bagi menunjukkan rasa penghargaan kepada pejuang kemerdekaan Tanah Air yang berkorban demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara aman dan makmur seperti kita kecapi ketika ini.
“Selain itu, melalui penganjuran pertandingan seperti ini juga dapat menaikkan semangat anak muda (generasi muda FELDA) untuk bersama-sama menghargai nikmat kebebasan, selain menanamkan rasa patriotik dalam jiwa mereka,” katanya.
Razak berkata, pertandingan itu bukanlah untuk mencari pemenang dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian, tetapi lebih kepada melihat inisiatif setiap warga peneroka dalam kawasan Wilayah Jengka membuktikan rasa kasih dan sayang mereka terhadap Malaysia.
Sementara itu, Pengurus Besar Wilayah Jengka, Afzal Hanis Hamid Abd Kadir berkata, pertandingan tahunan itu dilihat sebagai antara usaha FELDA dalam memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan dan kebetulan tahun ini, sambutan diadakan secara sederhana tetapi meriah, berikutan penularan wabak COVID-19.
“Suasana (sambutan) tahun ini agak berbeza kerana kita kena lakukan dengan normal baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.
“Walaupun agak terbatas kerana kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun ia tidak mengganggu kemeriahan dan penyertaan warga peneroka dalam pertandingan kita anjurkan,” katanya.
FELDA Jengka 24 selaku johan menerima wang tunai RM1,500; bagi Naib Johan pula menerima RM1,000; tempat ketiga menerima RM700 dan tempat keempat memperoleh RM500.