Felda jangan jadi port dadah – Sultan Pahang
Felda jangan jadi port dadah – Sultan Pahang
JENGKA – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya tanah rancangan Felda tidak dijadikan “port dadah” kerana ia asalnya lambang kejayaan negara.
Baginda menzahirkan kebimbangan apabila rekod hingga Julai lalu menunjukkan seramai 1,317 penagih atau 31.32 peratus daripada keseluruhan penagih di Pahang berasal dari tanah rancangan Felda, termasuk 264 penagih dikenal pasti di Jerantut.
“Felda asalnya lambang kejayaan negara. Jangan biarkan ia menjadi port dadah. Pemimpin Felda mesti turun padang, jangan hanya sibuk mengejar keuntungan dan politik semata-mata,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Jelajah Pahang Teguh Dadah Perkawalan 2025 sempena Sambutan Hari Antidadah Peringkat Negeri Pahang di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya perjuangan menentang dadah dijadikan jihad besar demi menyelamatkan maruah umat dan masa depan negeri.
“Tiada bencana lebih dahsyat selain melihat anak bangsa diperhambakan oleh najis dadah. Perjuangan ini mesti dianggap jihad besar demi mempertahankan maruah umat,” titahnya.

Baginda mengingatkan ancaman sempadan tidak boleh dipandang ringan kerana Pantai Timur menjadi laluan sindiket antarabangsa menyeludup dadah menggunakan bot nelayan, kapal dagang dan perahu kecil.
Katanya, kerjasama antara agensi maritim, polis dan tentera laut perlu diperkukuhkan agar lautan serta pesisir pantai tidak menjadi pintu masuk racun negara.
Al-Sultan Abdullah juga menyentuh gejala vape yang dianggap “api dalam sekam” termasuk kemunculan vape mushroom mengandungi bahan psikotropik. Atas dasar itu, Pahang memperkenalkan fatwa pengharaman vape secara total meliputi penggunaan, penjualan dan pengedaran.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa bangga melihat kehadiran lebih 500 bekas penagih yang sudah pulih. “Setiap langkah ke arah pemulihan adalah kemenangan. Jangan sesekali menoleh ke belakang kerana setiap insan wajar diberi peluang kedua,” titahnya.
Baginda turut mengingatkan ibu bapa supaya menjadi benteng pertama melindungi anak-anak daripada pengaruh dadah serta menyeru pihak berkuasa memperkukuhkan usaha pencegahan secara kolektif.
Al-Sultan Abdullah menegaskan dalang dan pengedar dadah mesti ditindak tegas tanpa kompromi supaya negeri ini mampu menjadi contoh negeri bebas dadah pada masa depan.-SAHIH