FELDA BELI 81 PERATUS SAHAM FGV
FELDA BELI 81 PERATUS SAHAM FGV
JERANTUT: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sudah menguasai 81 peratus saham FGV dan ia adalah hadiah bermakna menjelang sambutan Hari Peneroka FELDA yang bakal disambut 7 Julai ini.
Walaupun tidak ada acara sambutan besar-besaran seperti tahun sebelumnya akibat pandemik COVID-19 belum berakhir, namun ia tidak menghalang pihak pengurusan FELDA menganjurkan sambutan berskala kecil di tanah rancangan masing-masing.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, pihak pengurusan FELDA juga sudah memilih FELDA Jengka 25 untuk mewakili Wilayah Jengka bagi pertandingan sempena sambutan Hari FELDA peringkat kebangsaan.
“Banyak program yang kita anjurkan sebelum COVID-19 terpaksa kita batalkan bagi mengelak penularan pandemik yang masih membimbangkan.
“Warga peneroka juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan FELDA, terutamanya Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh dan hasil pimpinan beliau yang profesional menyaksikan harga sawit kekal stabil, mencecah RM1, 000 satu tan.
“Sudah tentu peningkatan harga sawit ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup dan sosio ekonomi warga peneroka FELDA di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak turut meminta lebih ramai generasi kedua FELDA mengambil peluang dengan mengikuti projek pembangunan peneroka (PPP) untuk meningkatkan kemahiran mereka.
“Program PPP ini adalah hasil inisiatif Datuk Seri Idris Jusoh dan FELDA memperuntukkan kira-kira RM200 juta bagi memastikan kejayaan program yang akan membantu memberi nilai tambah kepada warga peneroka, terutama generasi kedua.
“Amatlah rugi jika peluang terhidang ini tidak dimanfaatkan sebaik mungkin dan saya sangat berharap lebih ramai tampil merebut tempat dalam program PPP yang dikhaskan untuk warga peneroka,” katanya.-SAHIH.