FAM WAJAR TIMBANG PERMOHONAN THE FIGHTERS
KUALA LUMPUR: The Fighters Sdn Bhd yakin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meluluskan proses penswastaan yang sedang diusahakan syarikat itu bagi membolehkan mereka membentuk pasukan untuk bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Wakil The Fighters Sdn Bhd, Afizal Abu Othman berkata, pihaknya akan menghantar beberapa lagi dokumen sokongan yang diminta oleh badan induk bola sepak negara itu dalam masa terdekat.
Afizal Abu Othman
“Sekarang ini kita masih menunggu keputusan daripada FAM… FAM juga ada mohon untuk kita hantar lagi dokumen sokongan dan kita sedang uruskan. Dokumen tersebut berkaitan kewangan memandangkan kita sudah ada pelabur baharu, jadi dokumen tersebut diperlukan untuk penelitian FAM.
“FAM juga belum bagitahu tempoh bila akan diluluskan itu. Jadi, kita menunggu dan sediakan sedikit lagi dokumen sokongan yang diperlukan. Kalau boleh kita pun nak segera (diluluskan) sebab kita pun nak setup pasukan dan sebagainya nanti
“Insya-ALLAH akan lulus, tetapi semua bergantung kepada FAM. Kalau mereka kata tidak lulus pun, saya harap mereka beri peluang untuk kami contohnya merayu lagi dan apa jua kehendak atau dokumen yang diminta FAM akan kami turuti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu, FELDA United membuat kejutan apabila mengambil keputusan menarik diri daripada kancah bola sepak tempatan dan penglibatan pasukan tersebut dalam kancah Liga-M akan berakhir musim ini.
Bagaimanapun, pasukan tersebut dilaporkan kembali bernyawa apabila pengurusan baharu dikenali The Fighters Sdn Bhd akan mengambil alih pasukan dan kini dalam proses menunggu kelulusan daripada FAM.
Difahamkan, pasukan tersebut tidak akan menggunakan nama FELDA United tetapi menggunakan nama lain untuk mengharungi saingan Liga-M musim depan.