Fakulti Perubatan dan Sains UPM hulur bantuan
Fakulti Perubatan dan Sains UPM hulur bantuan
FAKULTI Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus gigih dan aktif dalam melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menghulurkan bantuan serta khidmat bakti sukarela kepada pusat jagaan warga emas, keluarga asnaf dan rumah anak yatim khususnya sekitar Lembah Kelang.
Pensyarah Kanan FPSK, Dr Shaharuddin Mohd Sham berkata, dengan cara itu juga secara langsung dapat menyemaikan budi pekerti mulia dalam kalangan pelajar dan kakitangan fakulti berkenaan supaya dapat turut serta menyantuni mereka yang kurang berkemampuan.
Katanya, selain menimba ilmu di bilik kuliah, pelajar juga perlu berada di lapangan dengan membabitkan diri dengan kerja kebajikan dan sukarela kerana mampu membantu mereka membentuk jati diri yang cemerlang.
Jelasnya, dalam beberapa program sosial sebelum ini seperti di rumah anak yatim, pelajar turut terbabit secara langsung seperti memberi motivasi serta nasihat dan bimbingan kesihatan kepada anak-anak yatim di rumah kebajikan terbabit.
“Begitulah juga apabila mengunjungi pusat jagaan, pelajar bersama-sama tenaga pengajar dan kakitangan fakulti akan menjadi pendengar setia keluhan warga emas terbabit yang boleh dijadikan kajian dalam memahami emosi seseorang terutama yang dibebani pelbagai penyakit.
“Dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik itu bukan setakat menghulurkan sumbangan kewangan atau barangan, malah duduk berbual serta melayani mereka juga satu bentuk pertolongan bagi menenangkan perasaan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan barangan kering di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengurus PJMM, Sazali Mohiden dan Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado bagi menerima sumbangan barangan kering daripada FPSK.
Shaharuddin berkata, sumbangan barangan itu adalah infak daripada tenaga pengajar, kakitangan dan pelajar FPSK bagi menzahirkan keprihatinan membantu pusat jagaan berkenaan apabila dimaklumkan mereka memerlukan barangan makanan dan keperluan asas untuk warga emas di PJMM.
Menurutnya, selain itu mereka turut berperanan sebagai pihak pengantaraan untuk mengagihkan barangan makanan dan keperluan asas ke rumah keluarga asnaf atau anak yatim apabila diinfak oleh pelbagai pihak.
“PJMM dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Beranang, Selangor beroperasi hasil daripada infak orang ramai dan pelbagai pihak kerana mereka tidak mengenakan sebarang bayaran kepada warga emas yang menghuni di situ.
“Oleh yang demikian pusat jagaan berkenaan sentiasa mengharapkan bantuan dan sumbangan orang ramai, korporat dan sebagainya bagi menampung kos operasi termasuklah bekalan makanan untuk warga emas yang rata-ratanya berusia lanjut dan menghidap pelbagai penyakit,” katanya.-SAHIH.