FAKTA KES WANITA MALAYSIA KENA TIPU OLEH WARGA ASING
KES WANITA TEMPATAN KAHWIN WARGA ASING
Kes pertama
Zarina Ismail, 47, tampil berkongsi pengalaman menanggung hutang RM200,000 bagi menampung perniagaan dan kehidupan sepanjang empat tahun perkahwinannya dengan buruh warga Bangladesh.
Beliau berkata, selepas status kad kredit beliau mencapai had maksimum, suaminya kini mempergunakan wanita tempatan lain pula dengan taktik sama.
Katanya, selepas berkahwin, beliau dipaksa membuat pinjaman peribadi dan Amanah Ikhtiar Malaysia dengan alasan untuk membuka perniagaan pakaian.
“Kerana termakan pujukan, saya meninggalkan dua anak hasil perkahwinan pertama di kampung untuk memberi fokus kepada perniagaan kami. Suami saya meminta saya menjadi penjamin perniagaannya selepas bernikah.
“Selepas beberapa tahun berniaga, kami berjaya membuka dua cawangan. Bagaimanapun, semua keuntungan tidak dikongsi bersama,” katanya yang mengakui tidak mempunyai simpanan kewangan.
Zarina berkata, sebaliknya keuntungan itu digunakan suaminya untuk membantu rakan senegara masuk ke negara ini dengan cara tidak sah.
Kes kedua
Seorang penjawat awam mendakwa terpaksa menanggung hutang RM100,000 selepas buruh warga Arab yang dikahwininya meninggalkannya sejurus wang diserahkan.
Wanita berusia 35 tahun itu berkata, suaminya mendakwa ingin membuka perniagaan dengan wang berkenaan namun bertindak keluar dari negara ini secara senyap.
“Saya ada membuat laporan polis selepas kejadian itu dan hasil maklumat awam mendapati suami saya pernah kembali ke negara ini dan menggunakan taktik sama terhadap wanita tempatan lain.
“Sasaran suami saya adalah penjawat awam yang mudah membuat pinjaman kewangan atau wanita dari golongan kenamaan,” katanya.
Kes ketiga
Seorang wanita sanggup berhenti kerja sebagai wartawan di sebuah syarikat swasta semata-mata untuk membantu perniagaan suaminya, warga Pakistan, selepas memasuki negara ini sebagai pekerja asing.
Bagaimanapun, wanita berusia 36 tahun itu menanggung kerugian termasuk gagal melunaskan pinjaman peribadi ratusan ribu ringgit apabila perniagaan suaminya ditutup kurang setahun.
Lebih malang, kedua-dua anak hasil perkahwinannya tidak memiliki status warga negara kerana pasport suaminya sudah tamat tempoh, sejak dua tahun lalu.
“Suami saya berusaha untuk memperbaharui pasport menerusi beberapa pihak berkuasa yang ditemuinya namun tidak berhasil. Duit beribu ringgit sudah habis begitu sahaja dan janji tinggal janji,” katanya.