ePelancar bantu warga koperasi akses info lebih pantas
ePelancar bantu warga koperasi akses info lebih pantas
KUALA LUMPUR – Warga koperasi kini boleh mendapatkan informasi terkini berkaitan dunia koperasi secara lebih pantas dan mudah menerusi aplikasi ePelancar yang boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Play Store.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, aplikasi itu dibangunkan sebagai pusat informasi digital Wadah Pelancar yang mengumpulkan berita, maklumat dan pencapaian terkini koperasi di seluruh negara.
Menurutnya, pendekatan itu seiring usaha digitalisasi koperasi serta memberikan akses yang lebih meluas kepada semua warga koperasi termasuk ahli lembaga, pengurusan dan ahli biasa.
“Melalui ePelancar, pelbagai maklumat penting seperti berita semasa koperasi, laporan kejayaan, aktiviti serta dasar berkaitan boleh diakses terus dari telefon pintar.
“Ia bukan sahaja pantas, malah memudahkan pengguna mendapatkan maklumat tanpa perlu menunggu edaran bercetak atau menunggu laporan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.
Aplikasi berkenaan turut menampilkan versi digital majalah Pelancar, Pelancar Edisi Khas, Coop Malaysia Update serta info mengenai inisiatif ekonomi seperti CoopBiz.
Selain itu, ePelancar juga menjadi platform rujukan utama dalam memperkasakan gerakan koperasi negara dengan menyediakan bahan informasi sahih, kemas kini dasar semasa dan pelbagai panduan pengurusan koperasi.
“Ini adalah sebahagian usaha transformasi digital ANGKASA dalam memperluas capaian dan memperkukuh sistem komunikasi dalam ekosistem koperasi,” katanya lagi.
Aplikasi ePelancar boleh dimuat turun secara percuma menerusi Play Store di pautan berikut: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.epelancar.
“Sumber informasi koperasi kini lebih dekat dan cepat, khas untuk anda – warga koperasi.”-SAHIH