ENGGAN KE PPS BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN
ENGGAN KE PPS BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN
KOTA BHARU : Mangsa banjir yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaik diarahkan pihak berkuasa bakal berdepan tindakan undang-undang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, terdapat peruntukan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang boleh digunakan untuk perkara itu bagaimanapun pihaknya masih mempertimbangkannya.
“Sebenarnya ada peruntukan undang-undang tapi kita pertimbang di saat sekarang disebabkan banjir dan Covid-19.
“Tapi jangan sampai kita ambil tindakan undang-undang itu disebabkan keengganan mangsa berpindah ke PPS,” katanya kepada HARIAN METRO di sini, hari ini.
GAMBAR HIASAN
Beliau menyeru agar semua mangsa banjir memberi kerjasama yang baik sekiranya diarahkan berpindah dan cuba melakukan pemindahan lebih awal bagi mengelakkan kesukaran operasi.
Terdahulu beliau membuat tinjauan di Tambatan Diraja di sini bagi melihat perubahan aras air Sungai Kelantan dan memantau kehadiran pengunjung ke salah satu lokasi tumpuan sempena banjir itu.
Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, sebanyak 39 kompaun dikeluarkan sejak semalam terhadap orang ramai yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di beberapa lokasi meninjau perkembangan banjir di seluruh negeri.
Beliau berkata, polis terpaksa mengambil tindakan tegas berikutan ‘kemeriahan’ orang ramai ke beberapa lokasi untuk melihat keadaan banjir dan menganggapnya sebagai pesta tanpa memikirkan risiko penularan wabak Covid-19.
“Fokus kami adalah kepada mereka yang tidak patuh SOP semasa pergerakan musim banjir (melihat aras air) dan antara kesalahan ketara adalah tidak pakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal langsung.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan situasi sebegitu kerana kita sekarang berada bencana dalam bencana,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak menular sebarang maklumat termasuk gambar atau video mengenai kejadian banjir yang tidak sahih bagi mengelakkan berlaku info yang tidak sahih.
Katanya, dalam musim banjir sekarang, banyak maklumat tidak sahih ditularkan individu yang tidak bertanggungjawab malah ada juga yang memuat turun semula gambar atau video kejadian banjir terdahulu sekali gus menimbulkan panik orang ramai.
“Tular sebegitu menyusahkan orang ramai contohnya mengenai jambatan runtuh, banyak haiwan ternakan hanyut.
“Jangan tular benda tidak sahih sebaliknya perlulah kerap melayari laman web rasmi kerajaan bagi mengetahui info yang tepat,” katanya.