Enam sekeluarga hilang di Bentong
Enam sekeluarga hilang di Bentong
BENTONG: Polis sedang mengesan enam sekeluarga termasuk seorang wanita dan lima anaknya yang dilaporkan hilang selepas didapati tiada di rumah mereka di Taman Orkid, di sini, sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan itu pada jam 7.34 malam, 30 Mac lalu.
Menurutnya, pengadu berusia 43 tahun yang juga suami serta bapa kepada semua individu terbabit memaklumkan isterinya, Rekha a/p Munugaran, 41, bersama lima anak mereka tidak berada di rumah sejak awal pagi.
“Pengadu mendapati pada 30 Mac 2026 kira-kira jam 6.30 pagi, kesemua mangsa tiada di rumah.
“Alamat terakhir dan lokasi terakhir yang diketahui adalah di No 120, Lorong 6, Taman Orkid, 28700 Bentong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaiham berkata, lima anak pasangan itu ialah Ruban a/l Saktidharan, 19; Sharivina Nair a/p Saktidharan, 17; Shasini Nair a/p Saktidharan, 16; Pritivi Nair a/l Saktidharan, 14; serta Lashwin Nair a/l Saktidharan, 4.
Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan dan usaha mengesan semua individu terbabit.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan enam sekeluarga berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2231999,” katanya.-SAHIH
