Enam pintu rumah teres terbakar di Taman Pertama, Kuala Lipis
Enam pintu rumah teres terbakar di Taman Pertama, Kuala Lipis
Foto atas – Kebakaran berlaku di Taman Pertama, Kuala Lipis, hari ini
LIPIS – Penduduk gempar apabila enam buah rumah teres terbakar di Taman Pertama, Sungai Kerpan, Kuala Lipis, pada jam 12.00 tengah hari, hari ini.
Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba, Shahrul Nizam Nasir berkata, selepas menerima panggilan kecemasan anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Kuala Lipis berkejar ke Taman Pertama dan mendapati enam buah rumah teres terbakar.
“Kita telah melakukan tugasan pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos, dua aliran salur bantu dan empat pacutan daripada air pili bomba berdekatan dan berjaya mengawal api dalam tempoh setengah jam.
“Kebakaran ini telah memusnahkan keseluruhan dua buah rumah teres, sebuah mengalami kemusnahan 60 peratus, manakala tiga buah lagi cuma dijilat api dalam anggaran 6 peratus,” katanya di Taman Pertama, di sini hari ini.
Menurut Sharul Nizam, seramai tiga orang pegawai dan 15 orang anggota bomba menggunakan tiga buah jentera daripada Balai Bomba Kuala Lipis serta bantuan balai Sungai Koyan telah menjalankan operasi pemadaman serta membuat pemeriksaan keselamatan selepas kebakaran.
” Bagaimanapun dalam kejadian tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa penduduk di situ. Punca kebakaran serta kerugian dalam kejadian ini masih dalam siasatan dan taksiran,” katanya.-SAHIH.