Empat sekeluarga nyaris lemas, kereta ditenggelami air
Empat sekeluarga nyaris lemas, kereta ditenggelami air
RAUB: Detik cemas dilalui sebuah keluarga apabila kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras selepas memasuki kawasan banjir di Jalan Bentong–Gua Musang, dekat Kampung Tersan, pagi tadi.
Dalam kejadian itu kereta itu dipercayai terperangkap dalam limpahan air sungai yang melimpah ke jalan susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada jam kira-kira 10.00 pagi.
Jurucakap APM Raub berkata, di dalam kereta tersebut dinaiki oleh dua warga emas dan dua orang dewasa.
Menurutnya, keluarga berkenaan berjaya diselamatkan orang awam sebelum dibawa ke Hospital Raub untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan lokasi di Seksyen 67.80, FT008 ditenggelami air sedalam 0.70 meter dan sejauh kira-kira 100 meter menyebabkan laluan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan ringan.
Menurut laporan bencana, corak paras air masih bertahan dan cuaca hujan berterusan direkodkan di kawasan berkenaan.
JKR memaklumkan beberapa laluan alternatif dicadangkan kepada pengguna bagi menggelakkan kawasan yang dinaiki air, antaranya, Jalan Ulu Renggol – Ulu Temalir – Ulu Atok – Kuala Atok; Jalan Cheroh – Batu Malim – Sungai Koyan – Jalan Berchang – FT08 dan Jalan Ulu Dong – Jalan Tualang Padang.
Pasukan rondaan jalan (RC) turut memasang papan tanda amaran dan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan keselamatan pengguna. Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil risiko meredah banjir.- SAHIH.
