EMPAT SEKELUARGA DIKEBUMIKAN DALAM SATU LIANG LAHAT
EMPAT SEKELUARGA DIKEBUMIKAN DALAM SATU LIANG LAHAT
RAUB: Empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di KM 334, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berdekatan persimpangan Gesing, dekat sini, pada jam, 3.15 petang, Jumaat lalu, selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Sega, dekat sini, semalam.
Anak sulung mangsa, Muhammad Haiqal Muhammad Fadzli berkata, selepas solat Jumaat bapanya Muhammad Fadzli Aming, (45) dan ibunya, Nur Asyitah Abu Samah, (44) bersama dua adiknya, bertolak ke Klinik Haiwan Bentong untuk mendapat rawatan kucing mereka yang cedera akibat bergaduh.
“Kira-kira 15 minit kemudian saya menerima berita ayah, emak dan dua adik Muhammad Iqmal, 13 dan Irina Nur Qhalisya,7 maut dalam kejadian itu, saya menunggang motosikal bersama adik, Muhammad Iqhfal ke tempat kejadian.
“Bapa saya telah bersara sebagai tentera udara berpangkat pegawai waran II pada tahun 2018, kini melakukan kerja sendiri sebagai punca pendapatan.
Muhammad Haiqal yang bekerja di sebuah stesen minyak bertekad menjaga adiknya, Muhammad Iqhfal selepas ini.
Tragedi Jumaat lalu berlaku apabila sebuah kereta Chevrolet Optra yang dinaiki empat sekeluarga itu bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Hilux.
Kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki sekeluarga tersebut.
Pemandu motokar terlibat, Muhammad Fadzli meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raub, manakala isterinya, Nur Asyitah Abu Samah meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, Muhammad Iqmal Muhammad Fadzli, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sega, meninggal di Hospital Raub dan Irina Nur Qhalesya Muhammad Fadzli, murid Sekolah Kebangsaan Sega, meninggal di Hospital Lipis,
Turut maut ialah penumpang Toyota Hilux, Wan Syahrul Munif Wan Jaffar, 44 tahun, manakala rakannya yang berusia 30 tahun yang memandu kenderaan itu cedera di tangan dan kini menerima rawatan di Hospital Raub.