EMPAT SEKELUARGA ANTARA LIMA YANG MAUT
EMPAT SEKELUARGA ANTARA LIMA YANG MAUT
RAUB: Empat sekeluarga antara lima yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan motokar jenis Chevrolet di KM 334, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berdekatan persimpangan Gesing, dekat sini, pada jam, 3.15 petang semalam.
Empat beranak yang maut itu, pemandu motokar yang juga bekas tentera, Muhamad Fadzli Aming meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raub, manakala isterinya, Nur Asyitah Abu Samah meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua orang anak kepada pasangan yang maut itu, Muhammad Iqmal Muhamad Fadzli, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sega, meninggal di Hospital Raub dan Irina Nur Qhalesya Muhamad Fadzli, murid Sekolah Kebangsaan Sega, meninggal di Hospital Lipis,
Kedua-duanya duduk di bahagian belakang kereta.
Kesemuanya dari Rumah Murah Kampung Jeruas, Sega, dekat sini.
Manakala, seorang penumpang tempat duduk hadapan Toyota Hilux, Wan Syahrul Munif Wan Jaffar turut maut di tempat kejadian dan pemandunya cedera di bahagian tangan serta trauma dan masih ditahan di wad kecemasan Hospital Raub, kedua-duanya dari Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Polis Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux yang datang dari arah Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian dan masuk ke laluan motokar yang datang dari arah bertentangan.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat telah berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan ini di bahagian hadapan, kesan pertembungan itu, penumpang hadapan Toyota Hilux dan penumpang hadapan motokar meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan itu di siasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya. – SAHIH