“Empat Rumah Musnah Dalam Insiden Kebakaran di Wilayah Jengka Sejak Awal Tahun 2025”
“Empat Rumah Musnah Dalam Insiden Kebakaran di Wilayah Jengka Sejak Awal Tahun 2025”
JENGKA – Tahun 2025 menyaksikan empat kejadian kebakaran memusnahkan rumah penduduk di Wilayah Jengka, melibatkan Felda Sungai Retang, Felda Jengka 7 dan yang terbaru, Felda Jengka 10.
Pengerusi Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud memaklumkan, dua kejadian awal berlaku di Felda Sungai Retang dalam tempoh seminggu sebelum Ramadan. Satu insiden berlaku dua hari sebelum puasa bermula, manakala satu lagi beberapa hari sebelumnya.
Mangsa, Muhammad Faizuri bin Zakaria, 47, iaitu Pengurus Felda Jengka 10, berkata beliau hanya mampu melihat rumahnya musnah dijilat api apabila tiba di lokasi selepas menghantar anak ke asrama di Seberang Temerloh.
“Saya memang duduk seorang. Isteri dan anak-anak di Lepau Utara. Rumah ini rumah utama kami. Bila saya sampai, bomba pun belum sampai lagi. Saya sempat tarik motor tapi tak dapat selamatkan banyak barang. Kereta saya pun hangus sebelah, cover set cair,” katanya.
Menurutnya, rumah berusia sejak tahun 1974 itu telah dibaik pulih beberapa kali dan lengkap dengan kemudahan elektrik. Hasil rakaman video saksi kejadian menunjukkan punca kebakaran dipercayai berpunca daripada kotak DB utama elektrik.
Gabungan Masjid Wilayah Jengka tampil menghulurkan bantuan RM500 kepada mangsa, selain kutipan dijalankan di 37 masjid seluruh wilayah. GPW Wilayah di bawah pimpinan Siti Zubaida Misan turut melancarkan kutipan dalam kalangan ahli.
Razak turut memaklumkan rancangan memperkenalkan caruman insurans bencana bernilai RM67 setahun kepada semua warga Felda.
“Inisiatif ini sedang diangkat ke pihak pengurusan tertinggi. Kita harap ia diluluskan demi kebajikan masyarakat,” katanya.-SAHIH