Empat rumah di dua buah kampung dinaiki air
Empat rumah di dua buah kampung dinaiki air
Foto atas :Seorang penduduk sedang memindahkan barang ketika banjir kilat melimpah ke kawasan kediamannya diKampung Pamah Rawas, Raub, hari ini.
RAUB : Banjir kilat selama tiga jam menyebabkan empat buah rumah terdiri daripada 23 orang keluarga penduduk di dua buah kampung, Kampung Peruas dan Kampung Pamah Rawas telah dinaiki air, hari ini.
Banjir kilat yang bermula pukul 9 pagi hari ini, bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan pemindahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan air mula surut pada pukul 7 petang hari ini.
Kejadian itu juga menyebabkan jalan raya berdekatan Kampung Pamah Rawas yang menghubungkan ke pekan kecil Dong mengalami kerosakan dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan YP Mantainence sedang menjalankan kerja membaikpulih dengan menambah beberapa buah pembetung.
Penduduk Kampung Pamah Rawas, Nur Amin Nor Azahar, 31, berkata, hujan turun dengan lebat sebelum waktu Subuh pagi hari ini menyebabkan kenaikan paras air anak Sungai Peruas dan Sungai Cherlang di Ulu Dong sehingga melimpah ke kawasan kediaman
“Banjir kilat ini tidak melibatkan pemindahan mangsa, manakala peralatan di sebuah rumah terbabit cuma mengalami kerosakan kecil akibat dimasuki air.
“Kejadian ini juga melibatkan kerosakan jalan raya berdekatan kampung ini yang menghubungkan ke pekan Dong dan kerja membaikpulih sudahpun dilakukan oleh pihak JKR hanya cuma boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda,” katanya di Kampung Pamah Rawas, dekat sini hari ini.
Nur Amin yang juga Pengerusi Persatuan Belia Kampung Pamah Rawas selanjutnya berkata, sukarelawan belia di situ sudahpun bersiap siaga untuk membantu pihak berkuasa sekiranya berlaku banjir memandangkan keadaan cuaca musim tengkujuh yang kerap berlaku hujan lebat.
Sementara itu, mangsa banjir yang juga seorang warga emas di Pamah Rawas, Dzulkifli Kudin, 67, berkata, kejadian itu selepas dia selesai solat Subuh apabila air mula memasuki kediamannya.
“Saya beserta empat ahli keluarga selamat dan cuma sedikit sahaja barang keperluan rumah mengalami kerosakan kecil kerana tidak sempat dipindahkan ke tempat tinggi.
“Namun, kami penduduk di sini sentiasa berwaspada kemungkinan banjir akan berlaku memandangkan keadaan hujan tidak menentu dan air sungai masih melimpah,” katanya.
Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin ketika melawat Kampung Pamah Rawas menambah, laluan sementara telahpun dibina oleh JKR di Kampung Pamah Rawas telah dinaiki air sejak pagi tadi.
“JKR dan YP Maintenance telah mengambil tindakan pantas membaikpulih dengan menambah pembetung untuk laluan air di kawasan berkenaan bagi memastikan jalan ini dapat digunakan semula oleh penduduk setempat.
“Saya berharap penduduk di sini berwaspada dengan menjaga ahli keluarga masing-masing khususnya mengawasi kanak-kanak supaya jangan bermain air memandangkan banjir kilat kerap berlaku,” katanya.-SAHIH.