EMPAT KEDAI BERUSIA 80 TAHUN TERBAKAR
EMPAT KEDAI BERUSIA 80 TAHUN TERBAKAR
BOMBA BERJAYA MENGAWAL KEBAKARAN DARIPADA MEREBAK KE KEDAI BERSEBELAHAN
JERANTUT: Sederet empat pintu kedai dua tingkat berusia kira-kira 80 tahun yang terletak di Bandar Lama terbakar kira-kira jam 3.15 petang tadi.
Empat kedai itu yang dibina antara tahun 1941 sehingga 1947 dan masih digunakan untuk menjual basikal dan alat ganti, restoran, kedai runcit dan kedai gunting rambut.
Tiga kedai tersebut rosak teruk manakala kedai gunting rambut hanya terbakar di bahagian tingkat atas kedai.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Balai Bomba Jerantut, Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.16 petang dan tiba di lokasi pada jam 3.20 petang.
“Pasukan dibahagi kepada dua kumpulan untuk memadamkan api dari bahagian hadapan deretan kedai dan belakang dengan bantuan sebuah kenderaan skylift komersil.
“Pihak kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan kedai bersebelahan yang berhampiran, 7 buah rumah kedai dapat diselamatkan, manakala sebuah kedai gunting rambut rosak teruk di bahagian tingkat atas,” katanya.
Katanya, lima jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Balai Jerantut, Temerloh dan Bandar Jengka serta dibantu sebuah jentera Bomba Sukarela Damak bersama kira-kira 30 anggota berusaha memadam kebakaran, operasi berjaya memadam sepenuhnya kira-kira jam 6.00 petang.
Jumlah kerugian dan punca kebakaran belum diketahui dan masih dalam siasatan.