EMPAT DITANGKAP TIPU TAWAR PEKERJAAN SECARA ATAS TALIAN
EMPAT DITANGKAP TIPU TAWAR PEKERJAAN SECARA ATAS TALIAN
BENTONG: Empat orang lelaki tempatan diberkas oleh pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kerana melakukan penipuan tawaran pekerjaan kepada orang ramai pada jam 12.00 tengahari, semalam.
Sindiket itu terbongkar setelah tertangkapnya empat suspek kerana melakukan penipuan tawaran pekerjaan pembelian atas talian menggunakan platform e-dagang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, anggota polis telah membuat serbuan dan tangkapan ke atas empat lelaki tersebut berusia antara 20 hingga 29 tahun di sebuah apartment yang terletak dekat sini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan dengan pembelian secara atas talian yang beroperasi sejak awal bulan ini.
“Modus operandi suspek adalah menawarkan peluang pekerjaan sampingan “easy money” kepada orang awam untuk menjadi ejen pembelian dalam talian pelbagai platform pembelian secara atas talian.
“Suspek mengunakan laman sesawang Facebook (FB) untuk mengiklankan tawaran pekerjaan itu untuk perhatian orang awam,”katanya.
Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran pekerjaan itu akan menghubungi suspek melalui nombor telefon yang dipaparkan menggunakan aplikasi Whatsapp yang disediakan oleh suspek di ruangan iklan.
“Suspek juga akan memperdaya mangsa dengan menjanjikan pekerjaan, bayaran pendahuluan perlu dibuat oleh mangsa dan akan dikembalikan bersama komisyen pembelian bergantung kepada jumlah bayaran mangsa.
“Setelah mangsa membuat pembayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek, suspek akan menyekat nombor mangsa daripada menghubungi suspek semula,” katanya.
Zaiham berkata, semua yang ditangkap ditahan reman selama 2 hari bermula pada hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sekira disabitkan kesalahan, hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari 1 tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan.
“Orang ramai supaya lebih berwaspada dengan sindiket tawaran pekerjaan yang sangat aktif ketika ini yang mengunakan platform media sosial,” katanya. –SAHIH.