EMPAT DAERAH LAKSANA PROGRAM VAKSINASI SECARA WALK-IN
EMPAT DAERAH LAKSANA PROGRAM VAKSINASI SECARA WALK-IN
BERA: Empat daerah di Pahang dibenarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk memberi suntikan vaksin secara walk-in kepada orang ramai mulai semalam.
Daerah Bera telah memulakan program vaksinasi secara walk-in itu semalam (4 September), manakala Bentong, Lipis dan Cameron Highlands akan memulakan program itu pada 6 September 2021 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, kerajaan negeri akan berusaha secepat mungkin untuk mempertingkatkan bilangan rakyat negeri ini untuk mendapatkan vaksinasi.
“Antara kaedah untuk menyegerakan pemberian vaksin dengan mengadakan secara walk-in yang memudahkan, cepat dan memberi peluang kepada yang “tercicir” daripada pendaftaran penerima vaksin di negeri ini.
“Orang ramai diharap sentiasa mendapatkan makluman terkini daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing berkaitan dengan program inisiatif ini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, semalam.
Ketika ini sebanyak 793,749 orang sudah menerima dos pertama dan 621,661 telah menerima vaksin lengkap daripada kelompok yang layak mendapat suntikan vaksinasi.
“Kerajaan negeri ini akan melipat gandakan usaha menyegerakan pemberian vaksin tersebut di PPV Awam, hospital, klinik kerajaan dan swasta serta PPV Program Jangkauan (Outreach) termasuk di industri.
“Kita berdoa bekalan vaksin akan sampai ke negeri ini, pengumuman oleh Perdana Menteri baru-baru ini menyatakan sebanyak 6 juta dos akan tiba memberi harapan kepada kita untuk menambah bilangan penerima vaksin,” katanya.
Sementara itu sehingga 2 September 2021, seramai 223,386 orang dewasa di negeri ini belum mendaftar vaksinasi Covid-19.
“Dipercayai mereka yang belum mendaftar disebab cabaran komunikasi dan perhubungan terutama di kawasan pedalaman yang sukar mengakses internet serta tiada kemudahan berkaitan untuk berurusan kerana pendaftaran ini dilakukan secara atas talian, maka program Outreach amat diperlukan,”katanya.-SAHIH.