EMPAT BUAH RUMAH HANGUS DALAM KEBAKARAN
MANTIN: Empat buah rumah musnah dan sebuah rumah hanya 20 peratus terbakar dalam kebakaran di Rumah Rakyat Mantin, Nilai, Negeri Sembilan, pada jam 10.00 pagi, hari ini.
Mangsa N Vijaya, 52, berkata ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu di rumahnya sebelum terhidu bau asap dan mendapati bahagian siling rumah terbakar lalu mula merebak dengan pantas.
“Saya terlelap seketika sebelum terhidu bau asap lalu memaklumkan kepada dua anak yang berada di ruang tamu dengan salah seorang mengalami patah kaki supaya menyelamatkan diri,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin, PPgB Priscilla Carol Thomas berkata, kebakaran tersebut melibatkan lima buah rumah yang mana setiap rumah tersebut berukuran 18 x 20 kaki.
“Insiden tersebut membabitkan empat buah rumah musnah 100 peratus manakala satu rumah lagi hanya melibatkan kemusnahan 20 peratus sahaja,” katanya.-SAHIH.
Gambar: BBP Mantin / Media sosial