Elak Calon Tuan Ibrahim tanggung dosa sekiranya gagal beri khidmat terbaik di DUN Cheka
Elak Calon Tuan Ibrahim tanggung dosa sekiranya gagal beri khidmat terbaik di DUN Cheka
Foto atas : Datuk Seri Abdul Rahman (2 dari kanan) di Majlis Bersama Peserta Felcra Pahang Berhad di Kampung Redan dekat sini, semalam.
LIPIS – “Saya tidak mahu menanggung dosa, bimbang tanggungjawab tidak dapat memenuhi amanah, kehendak dan berkhidmat dengan baik kepada rakyat dengan sempurna, sebab itu saya bertanding satu kawasan sahaja, iaitu di Parlimen Lipis,” kata Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau yang juga calon Parlimen Lipis (P079) hairan macam mana calon Perikatan Nasional (PN-PAS), Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sanggup bertanding di dua buah kawasan berbeza pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Calon PAS DUN Cheka itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga bertanding di Parlimen Kubang Kerian di Kelantan yang jaraknya kira-kira 400 kilometer dan mengambil masa perjalanan kira-kira 4 jam, adakah beliau mampu berkhidmat untuk rakyat?.
“Ambil satu kawasan pun cukuplah. Saya sebagai penyandang BN Parlimen Lipis yang menang dalam PRU14 lalu sehingga ini pun berasa bimbang tanggungjawab atau amanah ini tidak tercapai, sangat berat jika gagal berkhidmat kepada rakyat,” katanya Majlis Bersama Peserta Felcra Pahang Berhad di Kampung Redan dekat sini, semalam.
Katanya, satu kawasan pilihan raya belum tentu dapat memenuhi sepenuhnya tugas pembangunan dan kebajikan dalam tempoh sepenggal dan kemungkinan tidak tercapai sekiranya seorang wakil rakyat memimpin dua kawasan yang jaraknya jauh dan berada di dua negeri berbeza.
” Saya berasa tidak mampu untuk berulang alik antara kawasan yang jaraknya amat jauh, manakala rakyat sangat dahagakan pembelaan kebajikan daripada wakil rakyatnya, ini akan merudumkan produktiviti bekerja.
“Tanggungjawab ini akan disoal oleh Allah SWT nanti sama ada sudah membantu dan memberi khidmat terbaik untuk memenuhi keperluan rakyat apabila diberi kepercayaan oleh rakyat sebagai pengundi,” katanya.
Katanya, BN Pahang sudah memilih calon wakil rakyat BN dari MCA, Ho Fong Mee untuk bertanding di Cheka merupakan anak tempatan Lipis yang sudah tahu dan mengenali rapat penduduk setempat.
“Pilih dan berilah kemenangan kepada calon BN di DUN Cheka supaya dapat meneruskan usaha pembangunan dan kebajikan rakyat daripada memilih calon luar yang tidak dapat memberikan apa-apa langsung lebih lagi wakil rakyat pembangkang.
“Bagi mendapat perkhidmatan terbaik, jangan pilih calon yang hanya datang sekali sekala malah belum tentu dapat memberikan perkhidmatan yang memuaskan hati pengundi di DUN Cheka kerana gagal memberi tumpuan sepenuhnya sekiranya beliau (Tuan Ibrahim Tuan Man) menang dalam PRU15 ini,” katanya.-SAHIH.