BERPAKAT BAKAR KERETA
EJEN INSURANS DIPERCAYAI BERPAKAT BAKAR KERETA
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam tiga kejadian berasingan membakar lapan kereta diletakkan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Putramas, di sini, ditahan di sebuah hotel di sebuah pusat peranginan, Isnin lalu.
Suspek berusia 35 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans itu disyaki akan mengenalpasti semua pemilik kenderaan yang menjadi sasarannya sebelum berpakat dengan pemilik kenderaan untuk membakar kereta mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata modus operandi suspek adalah untuk mendapatkan komisen tuntutan insurans daripada pemilik kenderaan yang dibakarnya secara sengaja.
Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid
“Sepanjang tahun ini terdapat tiga kes membabitkan kejadian kenderaan yang dipercayai sengaja dibakar oleh suspek yang sama sehingga mendatangkan kegusaran kepada penduduk di kawasan setempat di Jalan Putramas di sini.
“Kejadian pertama dilaporkan pada 9 Jun lalu membabitkan tiga kenderaan, sebelum tiga lagi kenderaan dibakar pada 4 Julai lalu dan dua kenderaan dikesan dibakar dan kejadian berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 4.30 pagi Isnin lalu sebelum dia ditahan,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Nik Ros Azhan berkata, antara kenderaan yang dibakar adalah Mercedes Benz, Bentley, Toyota, Perodua dan Nissan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 475 Kanun Keseksaan.
GAMBAR HIASAN
“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat ini dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sentul sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pemilik kenderaan berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.