EBIT LEW BELI 500 TAB GUNA WANG SUMBANGAN TMJ
EBIT LEW BELI 500 TAB GUNA WANG SUMBANGAN TMJ
JOHOR BAHRU: Ustaz Ebit Lew menggunakan wang sumbangan berjumlah RM200,000 yang diberikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membeli sebanyak 500 unit gajet.
Menurut pendakwah popular itu, kesemua gajet berkenaan akan diagihkan kepada pelajar yang memerlukan bagi menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), lapor KOSMO! Online.
“Doakan ya. Terima kasih TMJ. Saya gunakan untuk beli 500 tab untuk 500 pelajar untuk kelas online.
“Syukur dah sampai. Hari ini kami akan agihkan pada yang memerlukan. Semoga menjadi asbab kebaikan,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya.
Pada 5 Februari lalu, Tunku Ismail menerima kunjungan pendakwah popular itu di kediaman rasminya di Istana Bukit Pelangi, di sini.
Tunku Ismail turut menzahirkan rasa kagum dengan usaha Ustaz Ebit Lew dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan dari seluruh negara, termasuk di negeri ini.
Katanya, Ustaz Ebit Lew sering menolong rakyat terutamanya golongan asnaf dan daif yang memerlukan bantuan dengan sumbangan dan usaha-usaha kebajikan.
“Antara aktiviti-aktiviti sumbangan yang paling saya kagumi adalah usaha beliau dalam membantu rakyat dengan peralatan perubatan, bekalan makanan dan barang keperluan asas.
“Saya juga telah memberi sumbangan kepada usaha kebajikan Ustaz Ebit Lew agar beliau dapat membantu lebih ramai lagi rakyat yang memerlukan,” titah Tunku Ismail.