EBIET LIEW BANTU PELAJAR TERKANDAS
Berita Nasional/Kehidupan
EBIET LIEW BANTU PELAJAR TERKANDAS
KUALA LUMPUR: Penangguhan sesi pendaftaran secara fizikal bagi pelajar baharu dan lama institusi pengajian tinggi (IPT) yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), menerima reaksi pelbagai pihak.
Rata-rata pelajar tidak membuat persiapan rapi untuk menghadapi pengumuman mengejut tersebut lantaran wang telah banyak dihabiskan untuk yuran dan kos perjalanan balik ke kampus.
Penceramah bebas dan usahawan, Ebit Lew yang terkenal dengan sifat suka membantu golongan dalam kesusahan mengambil keputusan untuk menyewakan bas khas secara percuma untuk pelajar IPT pulang ke kampung.
Menerusi foto dimuat naik di Facebooknya semalam, perjalanan bas tersebut membabitkan perjalanan ke pantai timur dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).
Kata Ebit, berikutan menerima banyak pesanan dihantar pelajar IPT di laman Facebook, beliau berusaha untuk menyewa lebih banyak bas bagi membawa pulang pelajar yang terkandas di kampus masing-masing.bju
“Sayu ramai pelajar mesej saya dari pelbagai universiti. Disebabkan keadaan semasa yang kelas ditukar semula kepada online. Ramai juga yang baru daftar. Sayu dan kasihan sangat pada mereka semua.
“Merekalah pemimpin masa depan. Macam anak kita sendiri. Saya tolong sewakan bas bagi free untuk mereka. Banyak pelajar yang dm (pesanan terus) saya. Bas ini ke pantai timur dari UPSI.
“Ramai lagi Insya-Allah saya akan aturkan dari UiTM, UTHM, UPSI dan banyak lagi,” tulisnya semalam.
Menurut Ebit, keputusan yang diambil pihak KPT itu adalah bagi menjaga keselamatan bersama berikutan penularan kes wabak COVID-19.
“Keadaan semasa negara COVID-19 meningkat dan membimbangkan. Semoga Allah mudahkan dan selamatkan perjalanan adik-adik.
“Syukur dapat beri motivasi dan semangat pada pelajar dalam bas yang bergerak tadi. Teringat dulu masa susah di universiti,” katanya.
KPT dalam kenyataan Khamis lalu mencadangkan semua IPT menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.
KPT memaklumkan, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
Sumber: Malaysiapost