DUTA ITALI MAUT SELEPAS KONVOI DISERANG
DUTA ITALI MAUT SELEPAS KONVOI DISERANG
GOMA: Duta Itali ke Republik Demokratik Congo (DRC) terbunuh hari ini ketika konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diserang dekat kawasan timur yang dilanda konflik, dakwa sumber DRC dan kerajaan di Rom.
Luca Attanasio maut akibat cedera selepas konvoi Program Makanan Dunia (WFP) diserang berhampiran Goma, kata seorang sumber diplomatik kanan di Kinshasa.
GAMBAR IHSAN AFP
Selain itu, dua individu mati dalam serangan sama, kata jurucakap tentera di wilayah Kivu Utara, Mejar Guillaume Djike kepada AFP.
Sumber lain pula mendakwa dua individu lain yang maut masing-masing adalah pemandu dan pengawal duta.
Kematian Attanasio disahkan oleh Kementerian Luar Itali yang menambah terdapat seorang polis Itali turut meninggal dunia.
Attanasio, yang dilantik sebagai duta ke Congo pada 2018, mengalami kecederaan di perut kerana ditembak dan dikejarkan ke sebuah hospital di Goma dalam keadaan kritikal, kata diplomat di Kinshasa.
Menurut tentera Congo, anggotanya sedang menjalankan operasi mencari penyerang di kawasan terbabit.
Sebagai negara yang luas sebesar benua Eropah barat, Congo sedang bergelut dengan banyak konflik terutama di kawasan timur yang kaya dengan mineral.
Banyak militan berkeliaran di empat wilayah timur, kebanyakan mereka adalah legasi perang pada 1990-an di negara sekitar Afrika wilayah selatan dan tengah, yang bertanggungjawab membunuh jutaan nyawa.
GAMBAR IHSAN AFP
Serangan hari ini di utara Goma, wilayah yang merangkumi Taman Negara Virunga yang disenaraikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga dibelenggu keganasan.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada minggu lalu, lebih 2,000 orang awam terbunuh di Kivu Utara dan Selatan serta Ituri tahun lalu.