Durian kura-kura’ ditemukan di Kampung Sengkela, Raub
Durian kura-kura’ ditemukan di Kampung Sengkela, Raub
RAUB – Penemuan durian kura-kura dianggap unik kerana belum pernah ditemukan sebelum ini sehingga ramai pencinta buah durian dari Lembah Kelang dan penduduk daerah ini datang untuk melihat lebih dekat buat itu di Kampung Sengkela, dekat sini.
Nurul Zalikha Uzir, 28, antara paling awal menemui buah unik itu berkata, dia pertama kali menemukan sebatang pokok durian di pinggir Kampung Sengkela ketika mula berbunga di pangkal pokok beberapa bulan lalu.
“Sejak berbunga, saya kerap berulang alik ke pokok durian ini untuk mengetahui perkembangannya dan setelah beberapa bulan ia mula mengeluarkan putik seterusnya berbuah hampir 60 biji dalam kedudukan di pangkal pokok.
“Setelah berbuah tekstur kulitnya berduri, manakala warna buah berlainan dengan durian biasa, iaitu kelihatan berwarna ungu kehitaman,” katanya di sini hari ini.
Kata Nurul Zalikha, dia belum pernah menemukan durian kura-kura dan sebelum ini tidak tahu nama spesies itu yang dipercayai banyak terdapat di Sarawak.
“Saya diberitahu, buah durian ini banyak di utara Sarawak, iaitu Limbang dan Miri dan dikenali durian kura-kura atau nama spesiesnya Durio testudinarum yang mempunyai rasa dan teksturnya yang berbeza dengan durian biasa.
“Saya tidak tahu tekstur bahagian pangsa, ulas, warna serta rasa isi buah ini kerana buah ini belum masak,” katanya.
Katanya, pokok ini tumbuh hampir 60 tahun lalu dan tidak tahu siapa yang menanamnya kerana sebelum ini kawasan ini merupakan hutan tebal.-SAHIH.