Durian Kampung Premium Jerantut bakal jadi rebutan penggemar durian
Foto atas : Pusat Pengumpulan Durian Pekan Damak.
Durian Kampung Premium Jerantut bakal jadi rebutan penggemar durian
JERANTUT – Durian Kampung Premium (DKP) jenis Emas Hijau dan Naga Emas hasil keluaran Kampung Damak setanding dengan durian Musang King dari segi rasanya lemak manis serta sedikit pahit malah seakan-akan isi melekat di kerongkong dan tekstur yang menjadi pilihan penggemar durian tegar.
Pemilik kebun durian jenis Emas Hijau ini, Mohd. Sabri Majid, 50, apabila durian jenis ini mendapat perhatian ramai pelanggan di Kampung Damak mula mencari dan menunggu setiap musim durian serta penggemar durian daripada luar daerah.
Sabri berkata, dia tidak menjangka durian yang ditanamnya pada 30 tahun lalu dan ditanam dengan semaian biji di kawasan kebun di rumahnya menjadi Durian Kampung Premium (DKP) terbaik di Pahang dua tahun lalu.
“Durian yang dikenali dengan nama Mas Hijau kerana warna isinya yang kekuningan emas dan kulit berwarna hijau mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Durian Kampung Premium 2020 lalu.
“Keunikan Mas Hijau mempunyai aroma serta rasa lemak manis, sedikit pahit dengan tekstur halus seperti ‘aiskrim’ sehingga menjadi pilihan utama penggemar raja buah dan pelanggan di sekitar Kampung Damak dan bandar Jerantut,” katanya.
Katanya, ketika ini cuma hanya sebatang pokok Mas Hijau sahaja yang ada di kebun saya dan setiap kali musim pokok itu berbuah antara 350 hingga 400 biji dan durian ini dijual dengan harga RM40 sekilogram.
“Saya cuma menanam biji benih 30 tahun lalu secara suka-suka selepas saya makan durian kampung yang diberi oleh seorang rakan dan tertarik dengan ulasnya kekuningan dan isinya rasa sedap dan mula mula berbuah lebat sejak 15 tahun lalu dan terus mendapat perhatian sesiapa yang pernah menikmati durian ini pastinya mahukannya lagi.
“Sejak beberapa musim menikmati isi buah itu, dia dan keluarganya mendapati rasanya tidak berubah, iaitu mempunyai kombinasi tiga rasa iaitu manis, berlemak dan sedikit pahit dengan isinya yang lembut dan halus berwarna kekuningan emas.
Katanya, dia bersyukur kerana rezeki yang diperoleh selama ini bermula dengan sebiji benih sahaja yang ditanam menghasilkan buah yang bermutu tinggi malahan pasaran yang cukup berbaloi apabila hasil jualan mencecah RM3,000 musim ini.
“Durian Mas Hijau mula dikenali ramai setelah memenangi pertandingan kategori Durian Premium Kampung (DPK) peringkat daerah anjuran Jabatan Pertanian dua tahun lalu.
“Mas Hijau mendapat permintaan tinggi bagi mereka yang pernah menikmati isinya dan penggemar durian mengakui klon ini mempunyai keunikan tersendiri berbanding dengan yang lain, kini saya telah menyemai hampir 1,500 benih Mas Hijau di tapak nurseri berdekatan rumah untuk dijual dengan harga RM40 sepokok anak benih,” katanya.
Seorang pemilik kebun durian jenis DKP jenis Naga Emas hanya terdapat di dusun milik Lim Kim Chooi, 62, di Kampung Berchang, Damak dekat sini, mula dikenali di kalangan penggemar durian di daerah dan luar termasuk Lembah Kelang.
Katanya, cuma terdapat sepohon durian baka Naga Emas sahaja ditanam di dusun oleh mentuanya sejak 50 tahun lalu di kawasan seluas 2.4 hektar ditanami sebanyak 250 batang pokok durian kampung dan durian kahwin, tetapi hanya sepokok durian Naga Emas yang mula mencuri tumpuan orang ramai dan penggemar durian di daerah ini.
“Durian Naga Emas ditanam cuma dengan semaian biji yang diperoleh oleh mentuanya daripada rakannya di negeri Terengganu dan dibawa balik ke dusun kampung Berchang di Damak dan ditanam 50 tahun lalu.
“Setiap musim, pokok durian ini sentiasa berbuah lebat dan mengeluarkan hasil antara 250 hingga 300 biji durian Naga Emas dan gugur lebih awal berbanding dengan durian kampung lain, setiap kali musim durian meluruh, Naga Emas antara pilihan utama yang diborong oleh penjual durian di pekan Damak.
“Katanya, durian ini bersaiz sederhana besar, berbentuk bulat tidak sekata dan sedikit lonjong, manakala kulitnya sederhana tebal dan berduri kasar,” katanya ketika ditemui.
Katanya, warna kultnya hijau keperangan dan beratnya antara 1.2 hingga 3.2 kilogram dengan aroma durian kampung yang asli dan rasanya lemak manis serta sedikit pahit malah seakan-akan isi melekat di kerongkong ketika ditelan.
“Walaupun harga sekitar RM25 sekilogram, tetapi penggemar durian ini tidak mhau terlepas peluang menikmatinya setiap kali musim durian tiba, khususnya penduduk di daerah ini,” katanya.-SAHIH.