Durian Kampung Perlok tewaskan 21 baka durian kampung dalam daerah Jerantut
Foto atas: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah menunjukkan salah satu baka durian yang menyertai pertandingan itu.
Durian Kampung Perlok tewaskan 21 baka durian kampung dalam daerah Jerantut
JERANTUT – Tiga baka durian dari Kampung Perlok, Jerantut mengungguli tiga tempat pertama jenis baka Durian Kampung Premium (DKP) dalam Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Daerah Jerantut yang diadakan di Dewan Sri Sri Damak, dekat sini, hari ini.
Durian milik, Nasser Sahari dengan durian Jenderoh King dipilih durian terbaik, tempat kedua, Mohd Adli Mat dengan durian baka Durian Mentol, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Ismail Nazri Yusof dengan duriannya dipanggil Chu Bidi.
Sebanyak 21 peserta dengan durian masing-masing dipertandingkan berdasarkan kriteria durian seberat anggaran satu kilogram, isi berwarna kuning dan memiliki ciri-ciri lain seperti durian kampung serta berbentuk bulat.
Pemenang pertama, Nasser Sahari berkata, dia memiliki durian itu hanya sepokok yang ditanam 35 tahun lalu di belakang rumahnya dan tidak sangka dipilih durian terbaik.
“Saya digalakkan oleh keluarga untuk menyertai pertandingan ini untuk mengetahui standard dan tahap durian yang kami miliki.
“Tidak sangka tuah menyebelahi saya dengan durian yang ditanam 35 tahun lalu, dan anak-anak dan keluarga memang suka, malah jiran atau kawan yang pernah merasa buah itu turut memuji kelazatan buah ini dan mahu saya sertai pertandingan ini” katanya.
Katanya, dia sedang menanam pokok benih durian ini kira-kira 50 pokok dan selepas ini akan lebih giat dan menambah bilangan benih pokok durian ini untuk dijual.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah mahukan daerah Jerantut dan Kawasan kampung Damak, Perlok, Ulu Cheka, Batu Balai dan kawasan sekitar mengekalkan durian ‘lama’ yang dikenal pasti sedap itu terus dipelihara.
Katanya, bagi memperbanyakkan pokok durian jenis sedap ini perlu menanam benih dengan segera agar jenis durian terbaik dan sedap ini tidak pupus.
“Tindakan proaktif pejabat pertanian Jerantut dan jabatan pertanian negeri amat dipuji mengadakan pertandingan ini selain mengenalpasti durian kampung jenis terbaik.
“Kepada pekebun kecil yang memiliki durian terbaik jangan merendah diri untuk mengenengahkan durian masing-masing walaupun hanya ada sepokok,” katanya.
Katanya, memang ada yang ‘malu’ untuk menyertai pertandingan seperti yang dianjurkan kerana sikap merendah diri yang sangat tebal.
“Diharap terus menjaga dan memelihara baka pokok durian kampung yang sedap di samping menanam benih pokok untuk mempersadakan Jerantut sebagai daerah buah durian,” katanya.-SAHIH.