Duda Sepi Dicekup Selepas Tular, Didakwa Cabul Tiga Wanita di Bazar Ramadan
Duda Sepi Dicekup Selepas Tular, Didakwa Cabul Tiga Wanita di Bazar Ramadan
TEMERLOH – Seorang lelaki berstatus duda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas empat pertuduhan mencabul tiga wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan, awal bulan ini.
Tertuduh, Nazarin Romeli, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chiew King.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan menyentuh payudara menggunakan siku dan lengan, serta menyentuh punggung seorang wanita berusia 26 tahun menggunakan paha pada 6 Mac 2025, kira-kira jam 6.40 petang.
Dia turut didakwa atas pertuduhan ketiga mencabul seorang lagi mangsa berusia 22 tahun dengan menyentuh payudara menggunakan siku dan lengan pada 10 Mac 2025, sekitar jam 6.20 petang di lokasi yang sama.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap wanita berusia 28 tahun pada 6 Mac, jam 6.40 petang.
Kesemua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Adriana Azrin, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Syazwani Roslan.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan. Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan.
Kes akan disebut semula pada 17 April 2025 bagi pengurusan dokumen dan pelantikan peguam.
Sebelum ini, video memaparkan kelakuan suspek mencabul beberapa pengunjung wanita di bazar Ramadan itu tular di TikTok, menyebabkan tiga mangsa tampil membuat laporan polis.
Suspek akhirnya diberkas pada 13 Mac lalu dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. Difahamkan, tertuduh mengakui perbuatannya dan mendakwa bertindak demikian kerana sudah lama tidak bersama wanita selepas disahkan menghidap HIV positif sejak 13 tahun lalu.-SAHIH