DUA WARGANEGARA INDONESIA MAUT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA
DUA WARGANEGARA INDONESIA MAUT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA
BERA: Dua warganegara Indonesia maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta di KM 57 Jalan Temerloh-Melati, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang, hari ini.
Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh Lubis berusia 26 tahun, dari arah Sebertak menuju ke Tasik Bera bersama tiga penumpang termasuk seorang kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, setiba di tempat kejadian tiba-tiba kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan terus merempuh sebatang pokok yang berada di bahu jalan tersebut.
“Pemandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga penumpang lagi tercampak keluar dan dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar 32 Bera untuk mendapat rawatan.
“Manakala seorang penumpang wanita warganegara Indonesia dengan panggilan Awi berusia 25 tahun turut maut ketika berada di klinik tersebut dan 2 lagi mangsa yang cedera dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, dua yang terselamat itu, Maswanto (30 tahun) cedera di bahagian kaki, manakala penumpang kanak-kanak berusia 7 tahun, warganegara Thailand dikenali sebagai Nuru-anis mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan.
“Semua tiga mangsa warga negara asing itu bekerja sendiri tanpa majikan, manakala dua mayat mangsa akan dibedah siasat, ” katanya.
Katanya, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, manakala orang ramai yang menyaksi kejadian itu tampil untuk membantu siasat, pihak kedutaan Indonesia dan Thailand akan dimaklumkan.-SAHIH.