Dua Warga Tempatan, Seorang Warga Indonesia Ditahan Kes Curi Sawit di Bera
Dua Warga Tempatan, Seorang Warga Indonesia Ditahan Kes Curi Sawit di Bera
BERA – Pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera berjaya menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit di dua lokasi berasingan di daerah ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee bin Nazir berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 24 Mac 2025 ke atas seorang lelaki Melayu dan seorang lelaki warganegara Indonesia yang disyaki terlibat dalam kes kecurian sawit di Ladang Felda Rentam, Bandar Bera.
“Hasil daripada siasatan dan maklumat yang diperoleh, pihak polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga tempatan serta seorang lagi lelaki warganegara Indonesia di Ladang FDM Felda Mayam, Bandar Bera. Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah yang sama,” katanya.
Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah lori yang dipercayai digunakan suspek untuk mengangkut buah sawit curi.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 25 Mac 2025, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama tiga hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
IPD Bera menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah, khususnya kecurian sawit di daerah ini.
Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.-SAHIH