Dua warga emas parah dalam kemalangan di Lipis
Foto atas : Kaki tangan perubatan dan anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa untuk dihantar ke hospital dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 23, Jalan Lipis – Foto : BBP Kuala Lipis.
Dua warga emas parah dalam kemalangan di Lipis
LIPIS – Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua orang penumpang warga emas parah dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 23, Jalan Lipis – Benta berdekatan kawasan Rawat dan Rehat (RNR) Benta dekat sini pada jam 12.00 tengah hari, semalam.
Pemandu jenis Nissan Serena bernombor RAH 4068, Mohd Mustaffa Kamal Bidin, seorang guru berusia 35 tahun beralamat di Kuarters Institusi Pendidikan Sekolah Kebangsaan Bukit Belah, Kelang mengalami kecederaan sakit di bahagian pinggang.
Turut tercedera dua orang warga emas, Ab Bidin A. Bakar berusia 69 tahun, ayah kepada pemandu yang duduk hadapan di sebelah kiri mengalami kecederaan patah tulang rusuk kanan, manakala emak pemandu, Aminah Dahalit berusia 72 tahun yang duduk di bahagian belakang kereta mengalami patah peha kanan.
Emak saudara pemandu, Rohani Ahmad yang berusia 66 yang juga duduk di belakang tidak mengalami kecederaan. Mereka yang berada di dalam kereta tersebut berasal dari Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan itu melibatkan kereta jenis Nissan Serena dengan sebuah lori kontena muatan habuk kayu jenis Volvo bernombor pendaftaran TCC 6883 yang dipandu oleh Muhammad Zaki Hussin, berusia 34 tahun berasal dari Kampung Kerambit, Lipis.
“Siasatan awal di tempat kejadian, punca kemalangan apabila kereta yang dipandu Mohd Mustaffa Kamal dari arah Kuala Lumpur dipercayai telah terbabas dan memasuki laluan lori muatan habuk kayu tersebut lalu menyebabkan berlaku perlanggaran.
“Pemandu bersama tiga orang penumpang antara usia warga emas merupakan sebuah keluarga telah mengalami kecederaan dan telah dibawa dengan ambulans ke Hospital Lipis untuk rawatan, manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa dan keluarga berkenaan masih di wad kecemasan Hospital Lipis untuk rawatan susulan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.-SAHIH.