DUA TERSELAMAT, LORI TERJUNAM KE GAUNG
DUA TERSELAMAT, LORI TERJUNAM KE GAUNG
RANAU: Seorang pemandu lori dan kelindannya terselamat selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 70 meter di Kilometer 5 Jalan Kundasang-Ranau, di sini, hari ini.
Dalam nahas kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 47 dan 50 tahun itu dikatakan dalam perjalanan menghantar barangan dari Kota Kinabalu ke Semporna.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata sepasukan tujuh anggota dan seorang pegawai dikerah ke lokasi bersama dua jentera dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebaik menerima panggilan pada jam 5.16 petang, lapor BH ONLINE
Katanya, sebaik tiba, kedua-dua mangsa yang cedera didapati masih berada di dalam gaung dipercayai tercampak keluar dari lori berkenaan.
“Pasukan bomba terpaksa menggunakan sistem tali dan pengusung bagi membawa naik kedua-dua mangsa ke atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ridwan berkata, sebaik berjaya dinaikkan, kedua-dua mangsa terus dihantar ke Hospital Ranau menggunakan EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut.