Dua tahun terlantar pendarahan dalam kepala rayu bantuan tangki oksigen
Dua tahun terlantar pendarahan dalam kepala rayu bantuan tangki oksigen
JERANTUT – Mohd. Hamidi Khairudeen, 49, kini telah terlantar sakit berpunca pendarahan dalam kepala sejak dua tahun dan kemudian membawa kepada pembedahan pada bulan Ogos tahun lalu, kini dia tidak dapat menjalani kehidupan seharian seperti biasa.
Ibunya, Hasanah Mahamud Yusoff, 64, berkata, Mohd. Hamidi merupakan anak sulung daripada enam beradik itu baharu sahaja dibawa pulang dari Hospital Jerantut kerana rawatan demam dan jangkitan kuman.
“Keadaannya semakin teruk apabila sukar bernafas dan ketika bernafas melalui mulut serta tiub yang dipasang di kerongkongnya berbunyi dengan kuat dan nampak dia amat sukar menarik dan menghela nafas.
“Pihak hospital memberitahu anak saya perlu disediakan peralatan pernafasan oksijen di rumah dan sehingga ini kami masih belum dapat menyediakannya kerana tidak mampu membelinya,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini hari ini.
Menurut Hasanah, dia amat sedih melihat anaknya yang sukar bernafas selepas kembali dari rawatan minggu ini malah keadaannya semakin teruk sekiranya tanpa bantuan peralatan tersebut.
“Saya tidak tahu hendak kata apa lagi hanya bertawakal dan berserah kepada Allah SWT di bulan Ramadan ini apabila melihat penderitaan anak saya,” katanya.
Katanya, penyakit Mohd. Hamidi, Hasanah berkata, anaknya pernah mengalami penyakit bahagian dalam kepala agak serius dan mula menjalani pembedahan kali pertama pada 8 Ogos 2021 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
“Susulan penyakit bahagian dalam kepala agak serius, dia (Mohd. Hamidi) dibedah kali kedua di hospital yang sama pada 11 Ogos 2021 kemudian disusuli pembedahan bahagian tekak sehingga keadaan sakitnya masih tidak berubah sehingga ini.
“Sebelum bulan puasa ini, dia mengalami demam yang teruk dan dihantar untuk rawatan di Hospital Jerantut selama hampir seminggu dan kemudiannya pulang ke rumah dan keadaan pernafasan Mohd Hamidi bertambah teruk,” katanya.
Hasanah berkata, akibat tekanan kesakitan yang dialaminya menyebabkan Mohd. Hamidi kerap meracau dan meronta apabila dia sedar dari tidur sehinggalah membimbangkan mereka sekeluarga.
Sementara itu, adiknya, Juliayana berkata, mereka terpaksa berbelanja sebanyak RM900 sebulan untuk membeli 10 tin susu khas sebagai makanan Mohd Hamidi dalam tempoh dia terlantar sakit.
“Kami juga berbelanja lampin pakai buang yang kesemuanya termasuk susu khas mencecah perbelanjaan. hampir RM1,500 perlu disediakan untuk kebajikannya.
“Bebanan semakin bertambah apabila abang saya memerlukan peralatan pernafasan oksijen yang dianggarkan harga mencecah hampir RM3,000 sebuah bagi membolehkan dia bernafas tanpa gangguan dan mereka tidak mampu menyediakannya,” katanya.
Juliayana berharap kerajaan dan dermawan dapat membantu mereka membelikan sebuah alat pernafasan bagi membolehkan Mohd Hamidi bernafas untuk meringankan sedikit penderitaannya.
Orang ramai dan para penderma yang ingin beramal jariah untuk memberikan sumbangan dengan menghubungi Juliayana Khairudeen menerusi talian 013 9978993 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0630041000040952 (Juliayana) atau 0630029000189572 (Hasanah Mahamud Yusoff)-SAHIH.