Dua remaja lemas ditemukan selepas tiga hari pencarian
Dua remaja lemas ditemukan selepas tiga hari pencarian
JERANTUT – Dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Kampung Durian Hijau di sini akhirnya ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga hari ini.
Mangsa, Muhammad Amirul Ashraf bin Abdullah, 14, dan Muhammad Danial Haikal bin Shamsudin, 14, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24 ditemui pada jarak beberapa kilometer dari lokasi mereka dipercayai jatuh.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3 April lalu kira-kira pukul 4.49 petang.
Menurutnya, jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut tiba di lokasi pada pukul 5.23 petang.
“Pada hari kedua operasi SAR semalam, seorang mangsa iaitu Muhammad Danial Haikal ditemukan pada pukul 4.20 petang dianggarkan kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa jatuh.

“Operasi diteruskan hari ini dan pada pukul 9.50 pagi, mangsa kedua iaitu Muhammad Amirul Ashraf pula dijumpai oleh orang awam pada jarak lebih kurang tiga kilometer dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta penduduk kampung.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pencarian termasuk bomba, polis, APM serta orang kampung.

ADUN lantikan kerajaan negeri Pahang , Haris Salleh Hamzah turut hadir ke lokasi bagi mengikuti perkembangan operasi.-SAHIH
