DUA REMAJA LELAKI SESAK NAFAS KEDAI PAKAIAN TERBAKAR
DUA REMAJA LELAKI SESAK NAFAS KEDAI PAKAIAN TERBAKAR
IPOH: Dua remaja lelaki mengalami sesak nafas akibat terhidu asap selepas kedai menyimpan pakaian di tingkat satu Pasar Raya Mydin di Meru, terbakar hari ini.
Remaja berusia 18 dan 19 tahun yang terperangkap di dalam premis tersebut telah diselamatkan orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.09 petang.
Katanya, anggota segera memotong pintu roller shutter yang tersekat menggunakan Circular Disc Saw sebelum memadam kebakaran di dalam premis.
“Kerja-kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan hose reel yang ada di bangunan tersebut dengan dibantu sistem water sprinkler.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam tempoh 20 minit dan anggaran kebakaran adalah lebih 50 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini, lapor KOSMO! Online.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran melibatkan stor menyimpan pakaian untuk raya itu.
“Anggota memadam kebakaran tersebut sehingga selesai dan operasi dibantu anggota dari BBP Ipoh dan Sungai Siput,” katanya