DUA PELATIH BOLOS DARI PUSPEN BUKIT CHABANG
DUA PELATIH BOLOS DARI PUSPEN BUKIT CHABANG
BESERI, 8 Mei-Dua pelatih dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Cabang,Beseri berjaya melarikan diri dari pusat berkenaan kira-kira jam 6 petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Pemangku Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu yang dibuat pengawal keselamatan PUSPEN sejurus selepas kejadian berlaku.
Kedua-dua pelatih lelaki berkenaan berusia 44 tahun dan 51 tahun dipindahkan dari PUSEN Batu Kurau,Perak ke PUSPEN Bukit Chabang pada 4 Januari lalu dan dijangka tamat menjalani pemulihan pada Disember 2023.
Ketika kejadian , salah seorang pelatih memakai baju berwarna kuning dan berseluar track warna gelap, manakala seorang lagi memakai baju berwarna putih dan berseluar track warna gelap.
Susulan kejadian itu, pihak Ibu Pejabat Polis Padang Besar telah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan kedua-dua pelatih melibatkan 7 pegawai dan 53 anggota serta dibantu 1 pegawai dan 9 anggota AADK Perlis.
Selain itu, tiga sekatan jalan raya turut didirikan di tiga lokasi sebagai tambahan kepada tiga sekatan jalan raya sedia ada dibawah kawalan Pasukan Gerakan Am.
Pihak polis memohon kerjasama dari penduduk yang berdekatan menyalurkan maklumat jika mempunyai maklumat tentang kedua-dua saspek.- SAHIH