Dua pelajar SMK Felda Kota Gelanggi 2 guna ‘kelas online’ untuk capai kejayaan cemerlang dalam SPM 2021
Dua pelajar SMK Felda Kota Gelanggi 2 guna ‘kelas online’ untuk capai kejayaan cemerlang dalam SPM 2021
JERANTUT – Dua pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi 2, dekat sini, mengguna kaedah belajar menggunakan platform atas talian untuk menggukuh dan meningkatkan kefahaman teknik menjawab soalan dengan baik.
Pelajar tersebut, Ain Natasha Anizul (18) yang berjaya memperolehi keputusan 8A dan 1C, berkata, selain bantuan guru sekolahnya, dia memerlukan maklumat tambahan kerana dua tahun dia banyak belajar melalui kelas Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) bermula di tingkatan 4 pada 2020 ketika bermulanya pandemik Covid-19.
“Tidak dinafikan guru sekolah saya turut membantu saya dan rakan-rakan lain melalui PdPR, malah kalau ada kesempatan saya bertanya dengan guru mata pelajaran melalui telefon, kami terpaksa mengerah lebih tenaga untuk mencari maklumat tambahan bagi meningkatkan kefahaman.
“Ketika hampir peperiksaan banyak ‘kelas’ secara atas talian melalui aplikasi zoom dan telegram yang dijalankan oleh guru lain secara percuma dan saya menggunakan sepenuh kemudahan itu untuk meningkatkan kefahaman,” ketika ditemui di rumahnya di Felda Kota Gelanggi 2, hari ini.
Anak bongsu 3 beradik itu, turut berterima kasih kepada ibunya, Mazarina Mat yang berkorban membelanja tambahan memasang internet di rumah bagi kemudahan dia mengikuti kelas secara online dengan lebih selesa dan tidak terganggu.
Ain Natasha yang juga ketua pelajar sekolah itu, tidak menolak kemungkinan dia akan melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan kerana sesuai dengan jiwanya yang suka dengan kanak-kanak.
Seorang lagi pelajar sekolah yang sama, Afif Jazimin Mohd Jusni (18) yang memperolehi keputusan 7A dan 1B, berkata, cabaran selama 2 tahun melalui fasa PdPR sangat mendebarkan kerana dia sedar kelas PdPR memerlukan kesabaran dan kecekalan menghadapi pelajaran.
‘Saya mengikuti kelas PdPR sekolah saya, selain itu mengikuti ‘kelas atas talian’ melalui pelbagai aplikasi dan laman sesawang di waktu malam dan lebih serius menjelang beberapa bulan terakhir untuk menghadapi peperiksaan SPM.
“Banyak laman sesawang pengajaran secara atas talian yang dijalankan oleh ‘guru luar’, maka kemudahan yang diberikan saya guna dan kongsi tips yang saya dapat dengan rakan lain dengan mengadakan perbincangan melalui aplikasi zoom sesama sendiri,” katanya.
Anak sulung kepada kedua ibu bapa yang juga guru itu berkata, dia berminat mengikuti pengajian pengurusan sukan kerana sangat berminat dalam sukan kerana banyak mewakili sekolah dalam sukan bolabaling, merentas desa dan bolasepak.
“Terima kasih kepada semua guru di sekolah saya yang memberi sepenuh jiwa dan raga menyampaikan pengajaran dengan baik dan keputusan SPM di sekolah saya yang terletak di luar bandar setaraf dengan keputusan di sekolah yang berada di bandar,” katanya.-SAHIH.