Dua maut libat tiga kenderaan di Jalan Jerantut-Kuala Tembeling
Dua maut libat tiga kenderaan di Jalan Jerantut-Kuala Tembeling
JERANTUT – Dua maut dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di KM16, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling berdekatan Bukit Atap pada jam 7.55 petang, semalam.
Mangsa yang maut itu, seorang lelaki, pesara Jabatan Pemetaan berusia 68 tahun dari Indera Mahkota Kuantan yang memandu Honda City meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut.
Seorang lagi yang maut, penumpang lelaki berusia 23 tahun, yang duduk di bahagian hadapan kereta Honda Jazz, dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kuala Tembeling cedera di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, siasatan awal kejadian, pemandu kereta Honda City dari arah Jerantut memotong kereta Proton Waja yang berada di hadapannya.
“Ketika sedang memotong, Honda Jazz yang datang dari arah hadapan menghala ke Jerantut mengakibat berlaku pertembungan secara berhadapan di antara kedua-dua kenderaan, dua kenderaan ini remuk di bahagian hadapan.
“Akibat kemalangan ini, pemandu Honda City meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut dan penumpang Honda Jazz telah maut di tempat kejadian, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian, ” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan.
Katanya, pemandu dan penumpang kereta Proton Waja, masing-masing, lelaki berusia 25 tahun dan kakak iparnya, 34 tahun dari PAKR Kuala Tembeling tidak mengalami kecederaan.
Manakala pemandu lelaki kereta Honda Jazz, berusia 26 tahun dari PAKR Kuala Tembeling, cedera di bahagian dada dan dirawat di Hospital Jerantut.
Katanya, di kawasan kemalangan itu jalan lurus dan berbukit, satu lorong dua hala serta garisan putih berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi lorong dan cuaca baik, permukaan jalan kering dan gelap tanpa lampu jalan.
“Diminta pengguna lain yang menggunakan jalan berkenaan sentiasa berhati-hati kerana jalan yang bengkok dan berbukit itu kerap mengundang kemalangan. Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, ” katanya.-SAHIH.