Dua maut dalam pertembungan tiga kenderaan
Dua maut dalam pertembungan tiga kenderaan
PEKAN – Dua maut dalam pertembungan tiga kenderaan dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kampung Batu, Jalan Pekan-Rompin, tengah hari, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan itu membabitkan pertembungan kenderaan jenis Proton Ssaga dan Proton Wira serta Perodua Myvi.
Katanya, pihak Bomba menerima panggilan kecemasan kemalangan tersebut melalui sistem tindak balas kecemasan Malaysia (MERS 999) kira-kira pada jam 12.53 tengahari tadi.
“Seramai empat anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi, Pekan tiba ke lokasi kejadian dan mendapati seorang mangsa lelaki tersepit dalam kereta Proton Saga dan disahkan meninggal dunia.
“Perkara itu disahkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian manakala seorang wanita yang menaiki kereta MYVI cedera parah namun turut terkorban ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.
Katanya, dalam kejadian itu juga, dua lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan dan dua wanita dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan terselamat daripada sebarang kecederaan.
Mangsa yang meninggal di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH.