2 KORBAN FENOMENA KEPALA AIR
DUA MANGSA KORBAN KEPALA AIR, TERMASUK ANGGOTA PGA
MIRI: Dua mangsa termasuk seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban akibat dihanyutkan kepala air di Sungai Melana Long Kerangan Baram pada 3 Disember lalu, disahkan mati lemas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat dijalankan ke atas kedua-dua mangsa iaitu Sarjan Simon Laja, 47, daripada PGA dan polis bantuan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP), Sarjan Kemiang Dugat, 50.
Beliau berkata, bedah siasat juga mendapati mangsa mengalami kecederaan pada kepala akibat terhantuk pada batu dan kayu semasa dihanyutkan fenomena bah tunggal itu.
![]()
GAMBAR HIASAN
Memetik laporan BH Online, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam Khamis lalu, kedua-dua mangsa bersama lima anggota rondaan lain melalui kawasan sungai cetek ketika melakukan operasi rutin harian, sebelum tiba-tiba dilanda kepala air.
Dua anggota terbabit dibawa arus deras, manakala lima lagi sempat menyelamatkan diri.
Aidi berkata, mayat Simon dijumpai jam 2 petang, manakala mayat Sarjan Kemiang dijumpai setengah jam kemudian jarak 1 kilometer antara satu sama lain.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Long Lamah sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Miri bagi tujuan bedah siasat.
