Dua lori bertembung di Lanchang, tiga cedera
Dua lori bertembung di Lanchang, tiga cedera
TEMERLOH – Tiga lelaki cedera selepas dua lori bertembung di Jalan Mempateh–Lanchang di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 petang membabitkan lori jenis Daihatsu dan Mitsubishi Fuso.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori Daihatsu yang dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama kelindannya dalam perjalanan dari arah Paya Laman ke Lanchang, manakala lori Mitsubishi Fuso yang dipandu lelaki berusia 30 tahun datang dari arah pekan Lanchang menuju ke Tol Lanchang.
“Apabila sampai di selekoh lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan bertembung menyebabkan ketiga-tiga mangsa cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori Daihatsu mengalami kecederaan di kepala dan kaki, manakala kelindannya yang berusia 23 tahun cedera di bahagian kaki.
“Pemandu lori Mitsubishi Fuso pula cedera di kepala dan menerima rawatan di lokasi kejadian,” katanya.

Tambah Mohd Nasyim, dua mangsa dari lori Daihatsu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu lori Mitsubishi Fuso yang gagal mengawal kenderaan ketika melalui kawasan selekoh,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan.-SAHIH