Dua Lelaki Ditahan Curi Kabel ECRL, Polis Rampas Barangan Kes
Dua Lelaki Ditahan Curi Kabel ECRL, Polis Rampas Barangan Kes
TEMERLOH – Dua lelaki diberkas polis selepas dipercayai terbabit dalam kecurian kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang lebih 1,600 meter di Temerloh dan Bentong, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kedua-dua suspek ditahan pada 10 September lalu hasil maklumat orang ramai dan risikan pasukan siasatan.
Suspek pertama berusia 34 tahun berasal dari Mentakab yang tidak bekerja dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan narkotik, manakala seorang lagi lelaki berusia 41 tahun dari Bentong bekerja sendiri dan mempunyai lima rekod jenayah.
“Kedua-duanya direman empat hari untuk siasatan lanjut. Ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka negatif dadah,” katanya.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam tiga kes kecurian kabel – dua di Temerloh dan satu di Bentong. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas lima guni berisi kabel tembaga yang sudah dipotong kecil, satu gulung kabel, pemotong kabel, pengisar besi, bateri, wayar pengecas, sarung tangan dan beberapa beg yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
Sementara itu, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) mengeluarkan kenyataan mengecam keras insiden tersebut kerana ia menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur rel dan boleh menjejaskan jadual penyiapan projek nasional itu.
“Sejak Jun lalu, beberapa siri kecurian komponen bernilai tinggi termasuk kabel dan transformer dikesan di sepanjang jajaran ECRL. Insiden terbaharu ini membimbangkan kerana memberi kesan langsung kepada kemajuan projek,” menurut kenyataan itu.
Polis memaklumkan siasatan masih dijalankan dan usaha mengesan rakan subahat lain yang dipercayai terlibat sedang giat dilakukan.-SAHIH