DUA LELAKI BERGELANG PINK LANGGAR PERINTAH KUARANTIN DIKENAL PASTI
DUA LELAKI BERGELANG PINK LANGGAR PERINTAH KUARANTIN DIKENAL PASTI
JOHOR BAHRU: Polis sudah mengenal pasti identiti dua lelaki yang memakai gelang tangan merah jambu dan melanggar perintah kuarantin apabila keluar membeli makanan di kawasan Taman Sierra Perdana, Masai dekat sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, perbuatan kedua-dua lelaki itu dikesan susulan sebuah video tular merakam aksi mereka melakukan perbuatan itu.
Katanya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek itu merupakan warga tempatan berusia 23 dan 46 tahun.
Tambahnya, kedua-dua mereka adalah kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan mereka perlu menjalani kuarantin bermula Sabtu lalu hingga Selasa ini.
“Pihak polis mengesan sebuah video berdurasi satu minit 32 saat yang tular memaparkan dua individu dengan gelang pink melanggar perintah kuarantin di kawasan tersebut.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku pada pukul 8 malam. Kedua-dua lelaki itu sepatutnya menjalani proses kuarantin kendiri dan bukannya keluar membeli makanan.
Gambar Hiasan
“Pihak polis akan panggil mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam selepas mereka tamat menjalani kuarantin kendiri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang boleh dikompaun RM5,000, lapor Utusan Online
“Siasatan juga boleh dibuat mengikut Sekysen 269 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya. Orang ramai diingatkan supaya mematuhi peraturan dan arahan dikeluarkan supaya Covid-19 dapat dibendung,” ujarnya.